JPM Motorsport beri sumbangan kepada SAMH


CHIN (tengah) bergambar bersama pengurusan dan penghuni SAMH selepas selesai majlis penyampaian sumbangan di ibu negara baru-baru ini.


JPM Motorsport baru-baru ini menyampaikan sumbangan berjumlah RM26,000 kepada The Selangor and Federal Territory Association for the Mentally Handicapped (SAMH).

Sumbangan itu diperoleh menerusi hasil kutipan aktiviti jualan ais krim kepada orang ramai sepanjang penganjuran perlumbaan pusingan ketiga Autobacs Super GT di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini.

Pemberian itu dijangka dapat menampung kos sara diri dan perbelanjaan latihan untuk 13 orang kanak-kanak bagi tempoh setahun.

SAMH adalah organisasi kesukarelawan yang tidak berasaskan keuntungan. Ia menganjurkan pelbagai program untuk kira-kira 500 kanak-kanak yang memiliki ketidakupayaan berkaitan pemikiran.

"Kami mahu mengucapkan terima kasih kepada semua penonton dan penggemar sukan bermotor yang berbelanja untuk membeli ais krim ketika berlangsungnya Autobacs Super GT.

"Hasil jualan yang diterima kemudiannya disalurkan sepenuhnya kepada SAMH," kata Pengurus Besar JPM, TP Chin dalam satu kenyataan baru-baru ini.