Meninggal dunia sebelum mencuri

MOHD. DAMANHURI (kanan) tidak berpuas hati dengan laporan bedah siasat bahawa anaknya maut akibat sesak nafas di HRPB, Ipoh semalam.


IPOH - Seorang pemuda ditemui mati selepas badannya tersepit pada celah besi tingkap dipercayai ketika cuba memasuki rumah jirannya di Taman Saz, Silibin dekat sini semalam.

Mayat Sherul Aizam Mohd. Damanhuri, 27, dijumpai oleh pemilik rumah tersebut yang baru tiba di rumahnya pada pukul 12.15 tengah malam. Semasa kejadian, rumah teres satu tingkat itu tiada penghuni.

Ketika ditemui, separuh badan si mati daripada kepala ke dada berada di dalam rumah mangsa manakala pinggang ke kaki masih berada di luar dengan hanya berseluar dalam.

Rumah yang cuba dimasuki si mati adalah selang tiga rumah daripada rumah keluarganya, namun pemuda itu tidak menetap di situ kerana menyewa bersama rakan-rakannya di Buntong, lima kilometer dari lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu selepas pemilik rumah berkenaan yang berusia 58 tahun menghubungi polis.

"Semasa polis tiba di lokasi kejadian, pemuda itu sudah tidak sedarkan diri.

"Anggota bomba perlu memotong besi tingkap belakang rumah berkenaan untuk mengeluarkan badan suspek yang tersepit sebelum dia disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB)," katanya ketika ditemui di pekarangan rumah mayat HRPB di sini.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.