Raja Philippe ganti Albert II


PUTERA Philippe, (tengah) dan isterinya, Puteri Mathilde melambaikan tangan kepada orang ramai selepas keluar dari sebuah gereja di Brussels semalam.


BRUSSELS - Belgium membuka lembaran sejarah baharu semalam apabila raja ketujuh negara berkenaan, Philippe akan menaiki takhta di sebalik kebimbangan mengenai masa depan negara yang berpecah-belah itu

Pada waktu tengah hari, Raja Philippe, 53, yang berpakaian seragam tentera dijadualkan mengangkat sumpah sebagai Raja Belgium di Parlimen di sini.

Belgium mempunyai tiga bahasa rasmi iaitu Perancis, Jerman dan Flemish merangkumi gabungan Bahasa Belanda dan Belgium.

Baginda mengambil alih takhta daripada bapanya, Raja Albert II, 79, yang berundur pagi semalam selepas memerintah selama 20 tahun.

Antara tetamu kehormat yang akan berada di barisan hadapan upacara pertabalan tersebut termasuk isterinya, Mathilde dan empat anak mereka.

Anak sulung pasangan diraja tersebut, Elisabeth yang kini hampir berusia 12 tahun pula ditabalkan sebagai pewaris takhta diraja Belgium melangkaui adik-beradik lelakinya.

Albert II yang turun takhta kerana faktor usia dan kesihatan menjadi Raja Belgium secara tidak dijangka.

Baginda terpaksa menaiki takhta pada 1993 selepas kematian mengejut abangnya, Baudouin.

Sifat pemalu dan kekok Philippe menimbulkan kebimbangan bahawa beliau tidak mempunyai kemahiran politik seperti bapanya untuk menyatukan rakyat negara ini.

Belgium berpecah dua antara penduduk yang berbahasa Perancis dan warga yang menggunakan bahasa Flemish.

Kini, harapan tertumpu ke arah penyatuan negara itu diletakkan pada bahu isteri Philippe, Mathilde.

Sikap peramah dan mudah didampingi puteri berusia 40 tahun itu dilihat akan dapat memenangi hati 11.5 juta rakyat negara ini

Dalam ucapan perpisahannya kelmarin, Albert II berkata, sebagai bapa dan raja, baginda berharap rakyat Belgium akan memberikan sokongan kepada Philippe dan Mathilde.

"Mereka membentuk pasangan cemerlang untuk berkhidmat kepada negara kita," kata Albert II.

Keluarga diraja itu dianggap sebagai simbol penyatuan Belgium, selain kentang goreng dan pasukan bola sepak kebangsaannya.

Walaupun penduduk berbahasa Perancis di selatan Belgium kuat menyokong institusi beraja, rakyat yang menggunakan bahasa Flemish pula tidak sependapat.

Penutur bahasa Flemish membentuk 60 peratus daripada keseluruhan penduduk Belgium. Sebuah parti yang mewakili mereka, N-VA mahu Belgium menjadi sebuah negara Republik.

Semasa dua dekad memerintah negara, Albert II membantu Belgium menyelesaikan beberapa krisis, sekali gus mengelakkan negara itu daripada berpecah.

Baginda memainkan peranan utama untuk menamatkan krisis politik paling panjang di Belgium pada 2010 hingga 2011.

Kemelut politik itu menyaksikan Belgium tidak mempunyai kerajaan selama 541 hari.

Dalam pada itu, jurucakap Perdana Menteri Elio Di Rupo berkata, menurut adat istiadat negara, tiada tetamu kehormat asing dijemput ke upacara pertabalan Philippe.

Majlis pertabalan tersebut juga cuma menelan belanja 600,000 euro (RM2.5 juta) ekoran negara-negara Kesatuan Eropah kini dilanda krisis ekonomi. - AFP