Azuan masih menanti penuh debar


IMBAS KEMBALI... Azuan (tiga dari kanan) mengendali latihan skuad Johor FC di Johor Bahru pada 18 Oktober 2010.


MASA depan Azuan Zain bersama Felda United kini mencetuskan tanda tanya.

Biarpun berjaya membimbing Felda United beraksi pada kempen Piala Malaysia musim ini selepas terpaksa mengharungi aksi playoff, nasib Azuan bersama pasukan berstatus kelab itu masih belum pasti.

Difahamkan, pihak pengurusan Felda United belum membuat keputusan mengenai nasib bekas pengendali Johor FC itu.

Bagaimanapun, Azuan berkata, masa depannya bersama Felda United mungkin hanya akan diputuskan pada penghujung bulan ini.

"Sejujurnya, saya masih mahu membimbing pasukan ini (Felda United) dan jika diberi peluang, sudah semestinya saya akan memastikan Felda memberikan aksi terbaik.

"Kejayaan kami mara ke saingan Piala Malaysia menambahkan lagi semangat saya dan para pemain untuk melakar kejayaan yang lebih bermakna selepas kami gagal dalam kempen Liga Super," kata Azuan ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Untuk rekod, Azuan dilantik sebagai jurulatih sementara Felda United bagi menggantikan tempat K. Devan ketika saingan Liga Super berbaki empat perlawanan iaitu bermula 20 Jun lalu.

Walaupun gagal membantu Felda United daripada tergelincir ke saingan Liga Premier musim depan, Azuan masih boleh berbangga kerana membimbing pasukannya mara ke kempen Piala Malaysia.

Kemenangan tipis 1-0 ke atas Pos Malaysia dalam aksi playoff pada 10 Julai lalu sudah cukup melayakkan Felda United beraksi pada kempen Piala Malaysia musim ini.

"Sebagai persiapan menghadapi saingan Piala Malaysia, pasukan Felda United akan mula turun menjalani latihan esok (hari ini) yang akan dipantau oleh penolong jurulatih, Nizam Adha Yusof," katanya.

"Saya tidak tahu situasi terkini pasukan Felda United terutama pemain-pemain yang mengalami kecederaan tetapi saya berharap mereka sudah cukup bersedia bagi menghadapi Piala Malaysia kali ini."

Majlis undian Piala Malaysia dijadualkan berlangsung Sabtu ini dengan kesemua 16 pasukan akan dibahagikan kepada empat kumpulan.

"Saya berharap undian kumpulan Piala Malaysia pada 27 Julai ini sedikit sebanyak memihak kepada Felda United.

"Jika saya diberi semula peranan sebagai jurulatih, terlebih dahulu saya mahu meletakkan sasaran untuk berada dalam dua pasukan terbaik peringkat kumpulan seterusnya layak ke suku akhir," kata Azuan lagi.