Pembangkang tolak keputusan pilihan raya umum Kemboja


SEORANG pemuda menendang sebuah kereta polis berdekatan pusat pegundian di daerah Stung Meanchey, Phnom Penh kelmarin.


PHNOM PENH - Parti pembangkang utama Kemboja semalam menolak keputusan pilihan raya umum oleh kerajaan yang menyatakan kemenangan berpihak kepada parti pimpinan Perdana Menteri Hun Sen.

Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja (CNRP) sebaliknya mahu siasatan dilakukan berhubung dakwaan manipulasi besar-besaran senarai daftar pemilih.

Menurut CNRP, satu jawatankuasa disertai oleh wakil parti politik, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, pihak berkuasa pilihan raya dan pertubuhan bukan kerajaan perlu ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan itu.

"Terdapat 1.3 juta orang yang nama mereka hilang dan tidak dapat mengundi. Kerajaan) menghapuskan hak kami untuk mengundi, bagaimana kami boleh mengiktiraf pilihan raya ini?" kata pemimpin pembangkang, Sam Rainsy.

"Ada lebih sejuta nama pengundi hantu, nama yang hanya wujud atas kertas yang boleh ditukar menjadi undi. Kita tidak boleh menerima keputusan ini," tambahnya.

CNRP menyatakan jawatankuasa itu perlu menyiapkan laporannya menjelang 31 Ogos depan.

Kelmarin, suruhanjaya pilihan raya mengumumkan Parti Rakyat Kemboja (CPP) pimpinan Hun Sen memperoleh 68 daripada 123 kerusi Parlimen manakala 55 kerusi lagi dimenangi oleh CNRP.

Keputusan tersebut menyaksikan sokongan rakyat kepada CPP kini merosot jauh selepas Hun Sen mentadbir negara selama 28 tahun.

Sebelum pilihan raya diadakan, CPP menguasai 90 kerusi Parlimen dan CNRP 29 kerusi dengan baki empat kerusi diduduki beberapa parti politik kurang popular.

CPP yang disokong media kerajaan dan sumber kewangan kukuh sebelum ini menyatakan, pihaknya yakin akan menang besar pada pilihan raya kali ini.

Di bawah pemerintahan Hun Sen, ekonomi Kemboja berubah menjadi antara yang paling pesat berkembang di Asia Tenggara.

Ekonomi negara itu banyak dibantu oleh eksport kain dan pelaburan dari China.

Namun, satu pertiga daripada 14 juta penduduk Kemboja masih hidup dengan pendapatan bawah AS$0.65 (RM2) sehari. - Reuters