Thailand perkenal undang-undang keselamatan khas

KUMPULAN penunjuk perasaan antikerajaan merempuh pasukan polis semasa mengadakan bantahan di Bangkok pada 21 Julai lalu.- reuters


BANGKOK - Kerajaan Thailand semalam memperkenalkan satu undang-undang keselamatan khas untuk mengawal protes antikerajaan yang dirancang dilakukan di Bangkok selepas siri tunjuk perasaan melumpuhkan bandar raya ini sejak beberapa tahun lalu.

Tentera Rakyat Thai yang baru ditubuhkan dan merupakan gabungan kumpulan yang menentang parti pemerintah serta bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra berikrar untuk mengadakan protes selama beberapa hari di Bangkok bermula Ahad ini.

Protes itu bertujuan membantah rang undang-undang yang bakal dibentangkan di Parlimen pada 7 Ogos ini.

Rang undang-undang tersebut mencadangkan pengampunan kepada mereka yang terlibat dalam keganasan politik sejak rampasan kuasa yang menyaksikan Thaksin digulingkan pada tahun 2006.

Kumpulan penentang bimbang ia akan dimanipulasi oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra untuk memberi pengampunan kepada Thaksin.

Ini sekali gus membuka jalan kepadanya untuk pulang ke Thailand dan mengelak daripada dikenakan hukuman penjara selama dua tahun atas dakwaan rasuah.

Justeru, bagi mengelakkan kekacauan, Kabinet telah menggubal Akta Keselamatan Dalam Negeri selama 10 hari di tiga daerah di Bangkok.

"Kami menjangkakan ramai penyokong dan penentang rang undang-undang ini akan menunjuk perasaan.

"Bagi mengelakkan mereka daripada bergaduh, kami telah menggubal undang-undang keselamatan khas," kata Setiausaha Agung Keselamatan Kebangsaan, Paradorn Pattanatabut.

Undang-undang itu membolehkan kerajaan untuk menghalang laluan atau kenderaan tertentu, melaksanakan perintah berkurung, mengharamkan perhimpunan, menjalankan operasi mencari dan menapis siaran media. - AFP