Beckham lancar buku autobiografi


DAVID BECKHAM ketika berada di Singapura untuk bertemu dengan pelajar Akademi Guardian di Marina Bay Sands pada Julai lalu.- ap


LONDON - Bekas kapten pasukan bola sepak England, David Beckham akan melancarkan autobiografi terbaharunya pada Oktober depan menerusi perjanjian dengan sebuah syarikat penerbitan.

Beckham yang juga bekas pemain tengah pasukan Manchester United dan Real Madrid dijangka melancarkan buku autobiografi keempatnya pada 31 Oktober dengan Kumpulan Penerbitan Headline milik Lagardere di United Kingdom.

Pengarah penerbitan buku bukan fiksyen Headline, Jonathan Taylor telah membeli hak cipta dalam perjanjian dengan syarikat pengurusan Beckham iaitu XIX Entertainment untuk menerbitkan buku tersebut.

Menurut Taylor, buku itu sebagai meraikan penglibatan Beckham dalam dunia sukan bola sepak.

"Tidak dapat dinafikan bahawa David Beckham ialah ahli sukan paling popular di dunia dan dikenali oleh semua orang. Buku yang hebat ini akan menjadi cara terbaik untuk peminat Beckham dari seluruh dunia meraikan pencapaiannya dalam dunia bola sepak," katanya.

Buku tersebut adalah sebahagian daripada rancangan Beckham selepas persaraan untuk memastikan jenamanya terus berjaya di pasaran dunia.

Beckham, 38, berkahwin dengan bekas anggota kumpulan Spice Girl, Victoria Beckham dan dikurniakan empat orang anak.

Lagardere mencatatkan peningkatan sebanyak 2.3 peratus dalam jualan suku pertama pada bulan Mei, didorong oleh kejayaan buku bertajuk Fifty Shades dan penerbitan buku biografi pemain bola sepak antarabangsa Sweden, Zlatan Ibrahimovic. - Reuters