Taufiq Batisah selesa di negara sendiri

TAUFIK BATISAH mengakui lagu-lagu dendangannya sebelum ini belum memikat pendengar di Malaysia.


MELIHAT kepada perkembangan industri hiburan di Malaysia, kehadiran ramai artis luar seperti dari Singapura telah merancakkan lagi persaingan dengan artis tempatan.

Ketika ini, terdapat segelintir artis Singapura seperti Aaron Aziz dan Adi Putra yang mampu menambat hati peminat, manakala dalam bidang seni suara nama-nama seperti Aliff Aziz, Awi Rafael dan Sleeq turut mencuri tumpuan.

Sehubungan itu, juara Singapore Idol musim pertama, Taufik Batisah berkata, dia sememangnya berbangga apabila semakin ramai artis Singapura yang mencipta nama di negara ini.

“Mencari rezeki dan mengembangkan bakat seni di negara orang bukanlah satu kerja yang mudah, apatah lagi usaha keras perlu dilakukan untuk menarik lebih ramai peminat.

“Berkenaan kejayaan rakan-rakan artis dari Singapura yang kini sudah bertapak kukuh di Malaysia, saya anggap ia merupakan rezeki masing-masing dan berbaloi dengan pengorbanan yang dilakukan,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Madagascar 3 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Apabila ditanya sama ada pernah terlintas di hatinya untuk mengikut jejak langkah rakan-rakan senegaranya itu, Taufik menyatakan keinginan itu selalu bermain di fikirannya.

Tambahnya, dia pernah cuba melakukannya dengan melancarkan beberapa buah album di negara ini dahulu, namun lagu-lagunya belum mampu memikat pendengar di Malaysia.

“Secara jujurnya saya tidaklah mencemburui rakan-rakan artis yang sudah menempa nama, tetapi kejayaan mereka itu telah menjadi pembakar semangat untuk saya mengikut jejak langkah mereka,” jelas penyanyi berusia 32 tahun itu.

Menurut Taufik, biarpun belum berhasil mencipta kejayaan di Malaysia, dia mengakui buat masa ini dia lebih selesa untuk terus bertapak di negara sendiri.

Jelasnya, tawaran untuk membuat persembahan dalam pelbagai acara di Singapura tidak putus-putus, malah berasa bangga kerana mempunyai peminat yang selalu menyokong kerjaya seninya.

“Setakat ini saya mahu terus mengembangkan lagi karier nyanyian saya di negara sendiri. Lagipun, saya bukan sahaja diterima oleh masyarakat Melayu, malah saya mempunyai ramai peminat yang terdiri daripada kaum-kaum lain.

“Apatah lagi jadual kerjaya seni saya juga sentiasa padat dengan pelbagai undangan nyanyian diterima. Jadi, saya tidak kisah sekiranya lebih popular dan diterima di negara sendiri,” ujarnya.

Album baharu

Bercerita lebih lanjut berkenaan dengan karier nyanyiannya pula, kata Taufik, dalam tempoh terdekat ini dia akan muncul dengan sebuah album baharu.

Ujarnya, memandangkan kali terakhir dia menghasilkan album ialah pada tahun 2008 dengan judul Suria Hatiku, penyanyi berkenaan memberitahu, sudah tiba masanya dia lahir dengan produk terkini.

“Kalau dilihat kepada industri hiburan di seluruh dunia menyaksikan penjualan album memang mengalami penurunan. Bagaimanapun, saya tetap memberanikan diri menghasilkan album baharu demi memenuhi permintaan peminat.

“Untuk album baharu ini ia masih dalam peringkat proses rakaman dan mengandungi sebanyak 10 buah lagu. Ketika ini saya baru sahaja selesai merakamkan dua buah lagu,” jelasnya.

Album itu dijangka berada di pasaran pada penghujung tahun ini.