Honda EX5 generasi ketiga



TAHUKAH anda, Malaysia merupakan satu-satunya negara di Asia Tenggara yang memiliki jangka hayat sebuah produk motosikal jenama Honda paling panjang.

Model itu cukup popular sehingga berjaya menambat hati pengguna domestik daripada segenap lapisan masyarakat sejak 26 tahun lalu.

Apa lagi jika bukan Honda EX5. EX5 diperkenalkan buat kali pertama pada tahun 1987 oleh Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (Boon Siew Honda).

Generasi kedua model kapcai itu menemui pelanggan tempatan pada tahun 2001. Ia dikenali sebagai EX5 Dream.

Sepanjang berada dalam pasaran negara ini, jumlah jualan terkumpul bagi kedua-dua generasi itu sudah melepasi paras dua juta unit.

Penyumbang kepada populariti jentera Honda itu berkait rapat dengan beberapa perkara. Antaranya, soal kebolehpercayaan, tahan lasak, mampu milik, mudah mendapat alat ganti dan jimat bahan api.


DARI kiri: Satoshi; Ketua Projek Honda EX5 Dream 110 dan Airblade Honda Research & Development Southeast Asia Co. Ltd., Tatsuya Minagawa; Ketua Pegawai Kewangan Boon Siew Honda, Koji Yamada dan Naib Pengerusi dan Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran Boon Siew Honda, Datuk Seri Tan Hui Jing pada majlis pelancaran dua model motosikal Honda terbaharu di Genting Hinglands.


Bagi meneruskan dominasi segmen underbone, Boon Siew Honda memperkenalkan generasi ketiga EX5 di Genting Highlands, Pahang baru-baru ini.

Dikenali sebagai EX5 Dream 110, produk kali ini sudah melepasi transformasi total yang melibatkan aspek rekaan dan prestasi.

EX5 Dream 110 dilengkapi enjin berkapasiti 110cc. Dua model generasi sebelumnya mengaplikasi enjin 100cc.

Jentera empat lejang itu menawarkan peningkatan kuasa enjin sebanyak 11 peratus berbanding rangkaian kuasa model terdahulu.

Sebenarnya, enjin EX5 Dream 110 adalah sama seperti yang ada pada model Honda Wave 110 baharu.

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Satoshi Okada selepas melancarkan EX5 Dream 110 dan Air Blade.

"Enjin digunakan adalah sama dengan Wave 110. Namun EX5 Dream 110 sudah diberikan talaan berbeza.

"Motosikal ini mampu menjana kuasa kilas (tork) yang lebih tinggi pada pusingan enjin rendah (RPM)," jelasnya.

Langkah menaik taraf kapasiti enjin itu bertujuan mengoptimumkan penggunaan enjin sama di beberapa pasaran termasuk Indonesia, Vietnam dan China.


REKAAN meter baharu kelihatan lebih kemas.


Sekali pandang, EX5 Dream 110 Malaysia ada iras-iras seperti model yang dijual di Thailand. Sungguhpun begitu, ada kelainan pada komponen khususnya sistem penyampaian bahan api.

Penampilan baharunya dilihat masih mengekalkan nilai-nilai klasik yang terdapat pada model generasi sebelum ini.

Elemen moden telah diterapkan pada set lampu hadapan dan belakang. Perumah lampu belakang telah disatukan dengan pemantul cahaya untuk pencahayaan lebih terang.

Pembaharuan lain melibatkan penggunaan sistem suspensi tahan lasak dan tayar yang lebih lebar.

Honda EX5 Dream 110 didatangkan dengan empat pilihan warna iaitu merah, hijau, biru dan ungu.

Harga jualan asas bagi varian dengan penghidup tendang ialah RM3,908 seunit. Bagi versi penghidup elektrik dijual pada harga RM4,145 sebuah. Jaminan diberikan selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000 kilometer.