AS buka kembali 18 pejabat kedutaan di Asia Barat, Afrika


BEBERAPA orang pegawai keselamatan berkawal di pintu masuk pejabat konsulat Amerika Syarikat di Lahore, Pakistan kelmarin.


WASHINGTON - Sebanyak 18 daripada 19 pejabat konsulat dan kedutaan Amerika Syarikat (AS) kembali dibuka hari ini selepas ditutup berikutan wujudnya ancaman serangan daripada kumpulan pengganas Al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP) sejak 4 Ogos lalu.

"Pejabat kedutaan di Sanaa, Yemen bagaimanapun akan terus ditutup kerana ancaman serangan pengganas masih wujud," kata jurucakap Jabatan Negara AS, Jen Psaki.

AS juga akan terus menutup pejabat konsulatnya di Lahore, Pakistan atas alasan sama.

AS sebelum ini telah menutup kira-kira 20 pejabat konsulat dan kedutaannya di Asia Barat serta Afrika selepas pasukan perisikan mereka berjaya memperoleh maklumat mengenai ancaman serangan pengganas.

Kesemua pejabat konsulat dan kedutaan itu ditutup sehingga semalam.

Pejabat konsulat dan kedutaan yang dibuka semula itu terletak di Jordan, Mesir, Qatar, Kuwait, Bahrain, Oman, Libya, Madagascar, Burundi, Djibouti, Sudan, Rwanda, Mauritius selain tiga di Arab Saudi dan dua di Emeriah Arab Bersatu (UAE).

AS juga mengeluarkan amaran kepada rakyatnya supaya mengelak daripada melawat Pakistan. Beberapa orang diplomat AS turut dikeluarkan dari Yemen.

Jabatan Negara AS tidak menyatakan bila pejabat konsulat dan kedutaan di Sanaa dan Lahore akan dibuka semula. - Reuters