Ziarah Aidilfitri tersasar


ZIARAH sempena Aidilfitri tidak terhad kepada ahli keluarga dan sanak saudara sahaja, rakan taulan juga boleh turut serta mengimarahkan amalan ziarah. - Gambar hiasan


SEBELUM Aidilfitri membuka tirainya, masing-masing sibuk melakukan persiapan menyambut lebaran. Sejak pertengahan Ramadan lagi, stesen televisyen giat mempromosikan pelbagai cerita menarik untuk tayangan sepanjang Aidilfitri ini.

Tanpa disedari, pelbagai cerita menarik ini menjadi faktor penyumbang kepada makin kurangnya amalan ziarah ketika Aidilfitri yang menjadi tradisi nenek moyang kita.

Sewajarnya, sikap lebih mengutamakan menonton televisyen berbanding ziarah perlu ditangani kerana Aidilfitri tidak akan bererti tanpa adanya ziarah.

Aidilfitri bukan sekadar hari kemenangan selepas sebulan berpuasa tetapi hari untuk berkumpul bersama ahli keluarga dan sanak saudara.

Malah dalam dunia penuh kesibukan hari ini, ramai yang hanya dapat balik ke kampung sekali dalam setahun iaitu ketika Aidilfitri.

Kesannya, ramai yang tidak mengenali ahli keluarga sendiri. Tidak kenal ibu atau bapa saudara, sepupu apatah lagi hubungan yang lebih jauh tetapi tetap ada pertalian darah.

Dengan adanya ziarah, barulah kita dapat bersua muka dan berjumpa seluruh ahli keluarga. Ketika ziarah inilah ibu bapa boleh memperkenalkan sanak saudara yang lain kepada anak-anak.

Hari beramah mesra

Aidilfitri juga adalah hari untuk beramah mesra. Hampir seluruh ahli masyarakat hari ini terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing.

Ramai yang keluar ketika matahari belum terbit dan balik ke rumah bersama bulan dan bintang sekali gus mempunyai masa yang amat terhad untuk bersama ahli keluarga.

Ziarah ketika Aidilfitri satu cara mengeratkan hubung silaturahim dan mewujudkan hubungan yang baharu.

Sesungguhnya kita sesama Muslim bersaudara biarpun daripada keturunan berbeza kerana kita berasal daripada cucu cicit Nabi Adam AS.

Menjadi kewajipan kita untuk sentiasa menambah kenalan, persahabatan dan persaudaraan sesama saudara seislam.

Lebih 20 tahun lalu, amalan berkunjung ke setiap rumah di segenap pelosok kampung secara berjemaah menjadi tradisi wajib selepas solat sunat Aidilfitri.

Amalan ini menyumbang kepada utuhnya perhubungan antara setiap ahli kariah. Malangnya hari ini, biarpun tinggal di kampung, tidak semua orang mengenali jirannya.

Apatah lagi mereka yang berada di bandar. Lantas, ziarah ketika Aidilfitri mampu mengembalikan hubungan yang erat sesama ahli masyarakat.

Ramai yang arif dan maklum, Aidilfitri merupakan hari untuk kita bermaaf-maafan. Perlu difahami, memohon maaf bukan terhad kepada ahli keluarga atau mereka yang ada hubungan darah dengan kita sahaja tetapi merangkumi jiran tetangga.

Memohon maaf

Contoh mudah, kita senang sangat mengeluarkan kata-kata kesat terhadap perlakuan jiran yang biadap. Biarpun perlakuannya biadap, kita tidak berhak melemparkan kata-kata kesat.

Lantas, kita perlu memohon maaf kerana Allah tidak akan mengampunkan kita selagi kita tidak memohon maaf daripada orang yang kita lakukan kesalahan kepadanya.

Kalau sudah mohon maaf tetapi dia enggan memaafkan, itu antara orang tersebut dengan Allah. Yang penting, tanggungjawab kita sebagai hamba-Nya telahpun kita laksanakan.

Mungkin ada yang berpendapat, tidak perlu ziarah kerana dunia hari ini lebih mudah dengan adanya konsep rumah terbuka. Hakikatnya, rumah terbuka tidak menepati konsep ziarah ketika Aidilfitri.

Jemputan terhad

Namanya sahaja rumah terbuka tetapi amalannya ialah ada senarai jemputan tertentu yang diundang untuk menghadiri rumah terbuka tersebut.

Selalunya yang diundang ialah sanak saudara, rakan sekerja, jiran terdekat dan kenalan.

Sebaliknya jika anda tidak menerima undangan, anda tidak akan hadir ke rumah tersebut walau anda maklum rumah terbuka sempena Aidilfitri sedang diadakan, betul?

Jelas sekali ia berlawanan dengan amalan ziarah yang terbuka kepada sesiapa sahaja tanpa perlu ada undangan atau jemputan khusus.

Rumah terbuka juga tidak mempraktikkan konsep menghubung silaturahim kerana para tetamu ialah mereka yang memang telah dikenali.

Malah juga kurang mengaplikasikan amalan saling beramah mesra. Biasanya rumah terbuka mempunyai tempoh kehadiran tertentu dan ramai yang bertumpu pada waktu yang sama.

Mana mungkin wujudnya kemesraan jika lebih daripada 10 tetamu datang serentak untuk dilayan? Yang ada hanyalah, ‘Sila ye!’, ‘Jemput makan ye!’

Tiada pertanyaan khabar, perkongsian berita, senda gurau dan gelak ketawa yang sepatutnya wujud sebagai satu cara untuk mengeratkan lagi hubungan persaudaraan.

Pengkhususan makanan

Aidilfitri bukan hari mengutamakan sesi untuk menjamu selera sebaliknya rumah terbuka ditumpukan kepada memenuhi selera tetamu.

Pelbagai jenis juadah disediakan malah ada pengkhususan pula untuk kategori jemputan, orang penting dan orang kebanyakan.

Konsep ini menyalahi konsep sebenar Aidilfitri iaitu sebaiknya hidangan makanan disediakan buat mereka yang tidak berkemampuan.

Sesungguhnya, tanpa ziarah, Aidilfitri sama seperti hari-hari biasa, bezanya hanya ada solat sunat Aidilfitri pada awal pagi dan masing-masing berpakaian baharu.

Salam Aidilfitri daripada saya dan keluarga. Maaf zahir dan batin.