Hans berhenti terbitkan filem

FILEM Lemak Kampung Santan menggandingkan Hans Isaac bersama Neelofa gagal menarik perhatian penonton untuk menonton filem tersebut.


KETIKA mengadakan sesi fotografi raya bersama Kosmo! pada bulan puasa lalu, penerbit, pengarah dan pelakon Hans Isaac ada memberitahu bahawa dia akan berhenti menghasilkan filem sekiranya produksi Lemak Kampung Santan gagal meraih sambutan.

Terbaharu, Hans seperti mengotakan kata-katanya itu lantaran filem yang menampilkan dirinya dan Neelofa sebagai pelakon utama itu sekadar mengumpul kutipan sebanyak RM100,000 berbanding kos penerbitannya RM1.7 juta.

Menerusi laman Twitter miliknya baru-baru ini, Hans meluahkan hasratnya untuk tidak lagi terbabit dalam industri perfileman tempatan sebaliknya mahu memberi fokus kepada pementasan teater pula.

Mendapat pelbagai maklum balas yang positif dan negatif terhadap keputusannya itu, Pengarah Urusan Tall Order Productions Sdn. Bhd. itu lantas memberikan penjelasan lanjut apabila dihubungi Kosmo! kelmarin.

Kosmo!: Berdasarkan kenyataan yang dibuat menerusi Twitter, anda seperti tidak mahu lagi terbabit dalam bidang perfileman. Boleh jelaskan dengan lebih lanjut?

HANS: Apa yang dimaksudkan ialah saya tidak mahu lagi melabur dalam penerbitan filem, tetapi saya masih lagi mengarah dan berlakon filem sekiranya ada tawaran.

Sebagai seorang penerbit, buat apa lagi saya melabur dalam perniagaan yang mendatangkan kerugian. Lebih baik pelaburan dibuat ke dalam perniagaan yang memberikan keuntungan seperti penerbitan teater.

Anda meletakkan harapan yang cukup tinggi terhadap Lemak Kampung Santan. Apa hebatnya filem itu sehingga orang ramai perlu menontonnya?

Saya pernah mengeluarkan kenyataan bahawa filem ini menjadi penanda aras untuk saya terus menghasilkan filem atau sebaliknya. Ternyata, dengan sambutan yang diterima membuatkan saya terpaksa mengambil keputusan sebegini.

Untuk filem ini pula, kekuatannya terletak kepada kualiti ketika dihasilkan. Saya mengambil berat mengenainya kerana saya mahu memberikan sebuah bentuk hiburan yang berkualiti kepada penonton supaya mereka tidak memandang rendah kepada filem tempatan lagi.

HANS bakal menerbitkan teater berjudul Supermokh The Musical yang dijangka menelan kos mencecah RM3 juta.


Adakah anda terkilan apabila Lemak Kampung Santan tidak menjadi pilihan penonton?

Saya tidak boleh salahkan penonton kalau mereka tidak mahu menonton filem saya. Masing-masing ada hak untuk menonton filem kegemaran mereka. Saya lebih kecewa dengan perniagaan dalam industri perfileman tempatan sekarang.

Perkara utama yang membuatkan saya lebih berasa terkilan apabila tiadanya perubahan yang berlaku dalam industri hiburan sejak 10 tahun lalu.

Begitu juga dengan layanan yang diberikan oleh pawagam terhadap filem tempatan yang mengecewakan berbanding filem antarabangsa.

Saya juga mendapat tahu bahawa selepas seminggu Lemak Kampung Santan ditayangkan, sudah banyak pawagam yang menarik balik tayangannya. Daripada 60 buah pawagam ketika hari pertama tayangan, kini tinggal 20 pawagam yang menayangkannya. Itu pun pada waktu yang tidak fleksibel.

Bagaimanakah maklum balas yang diterima selepas anda membuat kenyataan menerusi Twitter baru-baru ini?

Saya baca setiap komen peminat, namun tidak dapat membalas semuanya. Memang ramai yang cakap saya merajuk disebabkan filem tidak laku.

Namun begitu, saya tidak menyalahkan pihak yang membuat komen kerana mereka tidak berada di tempat saya. Kalau mereka berada dalam situasi saya sekarang, barulah mereka akan faham.

Selepas tidak mahu melabur lagi dalam pembikinan filem, anda menyatakan mahu fokus kepada penerbitan teater pula. Adakah teater mampu memberi pulangan yang besar?

Sepanjang saya menerbitkan teater, pulangan yang diperoleh memang tidak mengecewakan, malah untuk mendapatkan penajaan juga tidak sukar.

Saya pernah mendapat tajaan daripada 10 syarikat ketika menerbitkan sebuah teater dahulu.

Berbanding dengan menerbitkan filem pula, untuk mendapatkan satu tajaan pun memang sangat sukar. Sehinggakan saya terpaksa mengeluarkan 100 peratus modal sendiri semasa menerbitkan sesebuah filem.

Apakah projek terbaharu Tall Order Productions Sdn. Bhd. sekarang?

Pada bulan Oktober ini kami akan membuat pementasan Lawak Ke Der 3. Kemudian diikuti pula dengan teater Supermokh The Musical yang bakal dipentaskan pada bulan November dan dijangka menelan belanja sebanyak RM3 juta.

Teater berkenaan mengisahkan tentang bintang legenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari. Sejak dahulu lagi saya begitu mengagumi beliau kerana kesungguhannya mengharumkan nama negara serta tidak mementingkan wang ringgit.