Izara selesa urus diri sendiri



SENYUM melirik yang terbit daripada ulas bibirnya cepat menghantar isyarat. Darah muda dalam tubuhnya tidak sementah yang disangka. Itu yang terzahir sebaik patah bicaranya meluncur laju. Dia bukan Izara Aishah yang pernah dilihat keanak-anakan beberapa tahun lalu.

Dalam waktu yang singkat, langkah kembara seni yang dilalui membawanya ke fasa dewasa. Berdiri atas kaki sendiri atau lebih ringkas disebut berdikari, prinsip itu sedang digalas wanita berumur 21 tahun ini setelah empat tahun berkecimpung dalam industri.

"Sekarang saya dalam proses memperbetulkan banyak perkara," katanya menghela nafas panjang.

Ibarat melepaskan apa yang tersimpan dalam dada, Izara membuka cerita.

"Sekarang saya mahu pihak di luar sana tahu bahawa saya tidak bernaung di bawah mana-mana pengurusan. Saya mengurus karier seni sendiri tetapi jika ada isu berhubung kontrak atau perjanjian melibatkan penjenamaan atau duta produk, hal itu saya serahkan kepada ibu. Dia yang bertanggungjawab," katanya.

Empat tahun cukup sebagai pengenalan buat Izara mengenal sepak terajang bergelar selebriti. Usah diungkit banyak omongan negatif yang pernah terpalit ke mukanya, Izara enggan menyalahkan sesiapa. Dia pernah dituduh budak sombong, tidak berdisiplin dan sukar memberikan kerjasama melibatkan hal-hal tertentu, namun semua itu ditelan penuh optimis.

"Ada perkara berlaku tanpa kehendak kita, ada juga yang berlaku di luar kawalan. Supaya saya tidak keliru dan tidak menyalahkan sesiapa, sekarang, biarlah saya yang bertanggungjawab. Rupa-rupanya okey juga bergerak sendiri, sudah setahun lebih saya susun jadual dan buat keputusan sendiri berhubung soal kerja. Mula-mula malu juga bila masuk soal bayaran, tapi saya ikut skala dan cara pengurus saya terdahulu mengendalikan hal berkenaan, lama-lama saya selesa," katanya mempamerkan sisi dewasa.

EMPAT tahun dalam industri, bermula sebagai gadis belasan tahun yang menyertai Dewi Remaja kini Izara menampakkan sisi matang untuk melangkah menjadi bintang pujaan ramai.


Leka seketika menyaksikan bintang muda itu berterus-terang tentang dirinya, emosi raya yang masih menyelubungi menyerlahkan seri wajah Izara. Masa rehat seminggu bercuti sudah habis, sekarang tumpuan penuhnya adalah tentang rutin pekerjaan.

"Buat masa ini saya tiada penggambaran. Tapi, itu tak bermakna jadual saya kosong, sekarang masa untuk saya penuhi banyak undangan dan permintaan. Kalau tidak, orang kata saya sombong, ikut haluan kiri atau menolak media. Sekarang masa untuk saya bersihkan semua itu," katanya seperti ada rajuk di hati.

Jadi zombi

Sedikit terkilan namun Syawal yang masih bersisa ini memberikan banyak hikmah buat Izara. Semua itu mahu dibilas tanpa prasangka. Sementelah buah tangan pertama yang akan menyaksikan kemunculan pertamanya ke layar perak, KL Zombi akan mula ditayangkan pada 29 Ogos nanti. Itu semua kebetulan yang sangat mengujakan Izara untuk bertemu khalayak.

"Selama ini saya sibuk dengan penggambaran. Bulan lepas, saya habis penggambaran filem Showdown The Movie. Semasa dalam tempoh penggambaran, saya jenis tidak ambil komitmen lain walaupun sesi fotografi. Prinsip saya buta kerja biarlah satu demi satu, mungkin sebab itu juga ada pihak merungut sukar untuk dapatkan komitmen daripada saya," katanya yang lama tidak muncul menghiasi drama-drama televisyen.

Mengumpul perhatian hasil impak daripada siri-siri popular seperti Kasihmu Laila, Vanila Coklat, Soraya dan Oh! My English, seingat Izara judul drama bersiri terakhirnya ialah Naziha yang disiarkan pada pertengahan tahun lepas.

"Ramai ingat saya menyepi tapi sebenarnya tidak. Alhamdulillah, rezeki filem lebih memihak kepada saya ketika ini tapi itu tak bermakna saya lupakan lakonan dalam drama. Saya terima tawaran yang datang terlebih dahulu, banyak juga tawaran untuk drama terpaksa dilepaskan kerana ada komitmen filem.

JELITAWAN muda, Izara bakal membuat penampilan sulungya ke layar perak bermula 29 Ogos nanti menerusi filem KL Zombi di sisi Zizan Razak, Siti Saleha Zain Hamid dan Azhan Rani.


"Untuk KL Zombi pula, watak saya tidaklah besar. Saya melakonkan watak Ana, seorang guru sekolah rendah yang dijangkiti virus zombi daripada seorang lelaki lakonan Zain Ruffedge," katanya yang belajar untuk menghidupkan karakter zombi daripada YouTube.

Melakonkan watak zombi yang menuntut solekan buruk, karakter watak tanpa dialog yang jelas serta pergerakan tubuh tidak normal sebenarnya bukan satu seksaan buat Izara.

"Mungkin orang ingat, jadi zombi itu senang, saya pun fikir begitu juga semasa mula-mula terima tawaran, tapi bila masuk ke lokasi, karakter itu agak susah juga buat saya. Kena banyak buat rujukan, tengok filem dan belajar daripada YouTube.

"Saya juga tidak kisah dengan karakter sebegitu, bagi saya, apa sahaja watak, walaupun watak hantu, asalkan ia menarik dan beri pengalaman baharu, saya akan terima. Saya tak kisah nampak buruk dalam skrin tapi saya pentingkan lakonan," katanya yang turut membintangi dua buah filem iaitu Sejoli dan Pilot Cafe karya Osman Ali.

Mengenangkan ilmu yang diperoleh dari lokasi penggambaran, pelakon filem Balun itu mengakui banyak mengutip nasihat daripada pelakon hebat yang juga pengarah wanita, Ellie Suriaty Omar. Bertindak sebagai guru lakonannya menerusi filem Pilot Cafe, Izara menyifatkan pengalaman berlakon dalam filem berkenaan sebagai cabaran terhebat buatnya setakat ini.