Bajet rendah sekat kreativiti pengarah



PENGARAH filem berketurunan India, BH Rajhans bukan satu nama asing di negara ini. Beliau merupakan pembikin filem Melayu pertama pada tahun 1933 bertajuk Laila Majnum.

Selepas itu, industri perfileman Melayu terus berkembang hasil kreativiti beberapa pengarah berketurunan India lain seperti L. Krishnan, B. N. Rao, Phani Majumdar sehinggalah kepada Pansha Nalliah dan terbaharu, M. Subash Mannan.

Bagaimanapun, industri perfileman Tamil tempatan masih kabur dalam mengatur jenamanya.

Saravanan Sivan, 43, seorang wartawan hiburan akhbar Tamil berkata, pengalaman dan pengamatannya terhadap industri perfileman Tamil tempatan mendedahkan pelbagai perkara yang kurang disenangi.

"Walaupun saya masih baru dalam bidang kewartawanan hiburan tetapi saya didedahkan dengan selok-belok industri filem Tamil tempatan," katanya yang kini bertugas di akhbar Nam Naadu.

Menurutnya, masalah utama industri perfileman Tamil Malaysia bermula daripada pengarah filem.

"Mereka syok sendiri dan menghasilkan filem mengikut cita rasa dan idea sendiri. Tiada perbincangan, tiada pandangan orang luar dan tidak menerima respons serta kritikan, termasuk rakan pengarah yang lain," katanya.

Walaupun kenyataan itu keras, Saravanan mahu pandangan itu diterima dengan hati terbuka. Ekoran sikap tersebut, hasil kerja pengarah Tamil tempatan kurang berkualiti dan tidak diterima oleh penonton.

Sejak bergelar wartawan hiburan, Saravanan sering dipanggil untuk menonton dan membuat ulasan tentang filem-filem Tamil tempatan dan dari negara India.

Berbekalkan pendedahan tersebut, Saravanan amat memahami perjalanan seni filem Tamil di negara ini.


MAJLIS pelancaran audio Vetti Pasanga yang dihadiri oleh Senator Datuk Maglin Dennis D’ Cruz (kanan sekali) di Finas, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Kekangan kewangan

Bagaimanapun, dia tidak menafikan kewujudan pengarah atau kru yang benar-benar berkaliber dalam dunia perfileman Tamil Malaysia.

Meskipun begitu katanya, pengarah atau pembikin filem tersebut berdepan masalah kewangan.

Walaupun berdepan dengan kemampuan kewangan yang terhad, pembikin-pembikin filem tersebut tidak berputus asa dan mula mengorak langkah dengan menghasilkan filem-filem baharu yang lebih segar dan menarik.

"Sejak kebelakangan ini, kita dapat lihat usaha yang konsisten dalam menghasilkan banyak filem," kata penerbit dan pengarah filem Tamil tempatan, Vimala Perumal, 31.

Beliau ditemui pada majlis pelancaran audio filem terbitan dan arahan beliau, Vetti Passangge yang bakal ditayangkan di pawagam pada September ini. Filem terbaharu ini antara buah tangan Vimala selaku penerbit dan pengarah termasuk filem-filem lain seperti Vilayadhu Pasangge, Chemman Chalai dan Salangai.

Vimala memberitahu, industri filem tempatan Tamil berdepan dengan pelbagai cabaran baik di peringkat pembikinan mahupun sokongan penonton.

"Saya percaya hampir semua pengarah pernah berdepan dengan masalah mendapatkan penganjur atau dana," kata Vimala yang juga seorang pensyarah di Universiti Multimedia di Cyberjaya.

Vimala mengakui, jumlah penonton yang kecil merupakan punca utama pihak penganjur enggan bekerjasama.

Jika ada pun pihak yang sanggup, pengkarya terpaksa berkompromi dengan permintaan penerbit. Lazimnya, penerbit yang melaburkan wang mempunyai alasan tertentu menerbitkan filem tersebut.

Secara tidak langsung, isu tersebut mengganggu kreativiti pengarah dan kru.

Namun, wanita ini tidak pernah berkompromi dengan isu tersebut kerana filemnya diterbitkan oleh syarikat produksinya, Veedu Production.

Bebas berkarya

Syarikat itu dimiliki bersama suaminya, Denes Kumar iaitu seorang pelakon dan pengacara tempatan terkenal.

Kru teknikal, khususnya pengarah fotografi produksi itu, Shanmugam Karuppannan turut diberi kebebasan berkarya.


PUBLISITI sangat penting dalam memastikan sesebuah filem itu sampai kepada penonton. – Gambar hiasan


Shanmugam atau lebih mesra dipanggil Shan ialah bekas pelajar Akademi Filem Malaysia. Beliau pernah bekerja sebagai juruteknik kamera dan berpengalaman mengendalikan pelbagai jenis kamera. Shan bersetuju bahawa kekangan kewangan merupakan halangan untuk industri filem Tamil tempatan berkembang.

Menurut Shan, populariti filem Tamil tempatan serta sikap penonton yang gemar membandingkan kualiti filem Tamil tempatan dengan filem Tamil dari India memburukkan lagi keadaan.

"Daripada 10 filem Tamil tempatan, lebih daripada separuh tidak diketahui kewujudannya oleh orang ramai manakala yang selebihnya berhadapan masalah kekurangan penonton. Penonton merasakan lebih berbaloi menonton filem Tamil dari India kerana bajetnya besar, menampilkan hero dan heroin terkenal serta lokasi luar negara," katanya.

Selepas filem Tamil pertama Shan, Sweet Dreams dikeluarkan dalam bentuk cakera padat, beliau berhenti mengarah filem kerana kekangan kewangan.

Namun, kekangan itu sedikit pun tidak melunturkan semangat golongan muda untuk menghasilkan filem pendek.

Sementara itu, dua orang pelakon yang ditemui Kosmo!, Jasmine Michael dan pelakon baharu, Bala Ganapathi William atau Bala meluahkan rasa kecewa masing-masing.

"Filem Tamil tempatan berdepan dengan kurangnya sokongan pemasaran, pengiklanan dan promosi daripada syarikat produksi.

"Ia merupakan satu kelemahan sekali gus menyebabkan sesebuah filem tidak popular atau tidak sampai kepada penonton," kata Bala.

Tambahnya: "Kebanyakan syarikat produksi tidak mengatur bajet yang sesuai untuk pemasaran.


PERAKAS salah seorang pengarah baharu yang sedang menempa nama dalam pembikinan filem Tamil di Malaysia.


Publisiti

"Paparan dalam laman sosial, papan iklan serta iklan di televisyen dan akhbar kurang diberi perhatian berbanding filem Melayu atau Cina."

Pernah mengacara beberapa program mega berbahasa Tamil, Bala kini berlakon dalam filem Tamil pertamanya, Vivagarathu yang diarah oleh penyampai radio THR, Revathy. Ia merupakan filem pertama wanita tersebut.

Menurut Bala, Revathy seorang yang memahami dan tidak lokek memberi tunjuk ajar.

"Saya berharap filem ini dan lakonan saya mendapat perhatian penonton selain memperoleh publisiti yang sewajarnya," luah Bala.

Bagaimanapun, di sebalik semua halangan itu, industri perfileman Tamil tempatan tetap berkembang dengan penglibatan wajah-wajah baharu.

"Dulu, kita tiada pilihan pelakon tetapi kini ramai golongan muda yang tampil untuk menjadi pelakon," kata Jasmine yang sudah hampir sedekad menceburkan diri dalam dunia seni.