Saluran TV khusus untuk karya Tamil


FILEM Tamil dari India mempunyai peminat yang ramai di Malaysia.


PEMBIKIN kandungan hiburan Tamil di Malaysia berhadapan dengan dilema mendapatkan slot tayangan di saluran televisyen tempatan dan pawagam.

Jurucakap Majlis Kandungan Kreatif India Malaysia (MICCC), Shanjey Kumar Perumal, 33, berkata, beberapa isu menjadi agenda organisasi itu sejak ditubuhkan dua tahun lalu.

MICCC ditubuhkan untuk mencari ruang supaya drama Tamil dapat ditayangkan di saluran televisyen.

"Ramai orang fikir syarikat televisyen berbayar Astro yang memiliki 10 saluran untuk penonton Tamil sudah memadai. Tetapi mereka tidak sedar, tidak ada satu pun daripada saluran itu dikhususkan sepenuhnya untuk menayangkan cerita Tamil dari Malaysia," tegas Shanjey.

Keadaan itu katanya, menyebabkan penonton di Malaysia lebih arif tentang perkara yang berlaku di Tamil Nadu, India berbanding di negara sendiri.

"Suri rumah yang sudah ketagih dengan saluran dari India lebih mengenali ahli politik dan berita semasa India berbanding tempatan," kata lelaki yang pernah memenangi pertandingan filem pendek BMW Shorties pada tahun 2009 itu.

MICCC juga berharap Radio Televisyen Malaysia (RTM) dapat menyediakan saluran digital Tamil sepenuhnya untuk memberi keutamaan kepada produk tempatan.

Lebih membimbangkan Shanjey ialah apabila ramai pembikin filem dari India menghasilkan filem di Malaysia. Pada masa yang sama, mereka mendapat semua dana yang sepatutnya disalurkan kepada pembikin rakyat Malaysia.

Penerbit dan pengarah filem Tamil Malaysia juga berdepan dengan cabaran untuk menayangkan filem di pawagam.

Pengarah dan penerbit filem Tamil, Subash Mannan Abdullah berkata, peluang untuk filem ditayangkan di bawah Skim Wajib Tayang (SKM) merupakan satu tawaran yang dinanti-nantikan oleh setiap pengarah.

"Jika bukan SKM, pawagam enggan menayangkan filem yang tiada pulangan. Sebelum ini, jika ditayangkan sekalipun, kami terpaksa menempah slot dengan bayaran RM2,000 setiap tayangan," kata Subash.

Filem Vajram oleh Subash ialah filem Tamil pertama yang mendapat status SKM. Katanya, selain ditayangkan di pawagam tanpa bayaran tempahan, penerbit juga akan mendapat insentif daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sebanyak RM140,000.

Selepas filem itu, beberapa filem lain turut diberi hak SKM seperti Adutta Kattam, Ops Kosa Dappa, Kaliyuga, Oli dan Dhusrajanam yang bakal ditayangkan September ini.


M.SUBASH kesal dengan kerenah pemilik pawagan yang tidak menyokong filem tempatan.


Jumlah kutipan

Pengarah dan penerbit, S. Tanabalan yang lebih dikenali sebagai S. T Bala pula berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi peluang filem Tamil diletakkan di bawah SKM.

"Memandangkan penyelia pawagam tempatan terutama yang dimiliki kaum India kurang memberi sokongan, SKM telah memberi harapan baharu kepada kami selaku penerbit.

"Filem kami wajib ditayangkan selama dua minggu dan itu satu peluang keemasan untuk kami menemui penonton," kata Bala yang baru sahaja menayangkan filem Kaliyugha.

Beliau turut mengakui, kutipan filem Tamil tempatan masih di peringkat yang mendukacitakan, namun tidak adil untuk menyalahkan penonton.

"Apabila mereka memberi sokongan, kita harus memastikan filem yang dihasilkan berkualiti. Apabila mereka kecewa dengan sesebuah filem, filem seterusnya sukar mendapat kepercayaan penonton," ujar Bala.

Dalam pada itu, Pengarah Media Digital Interaktif RTM, Mohammad Lukman Kamari, ketika dihubungi berkata, semua saluran digital yang baharu masih dalam perancangan dan buat masa ini tiada keputusan untuk memberi nama kepada saluran yang terlibat mahupun kandungannya.

"Ia mungkin beroperasi tahun hadapan tetapi setakat ini belum ada sebarang perkembangan," katanya. - NIZHA PERIASWAMY