Terlepas tali gantung

INILAH kenderaan yang dipercayai membawa Azilah dan Sirul ketika meninggalkan Mahkamah Rayuan di Putrajaya semalam. Gambar kecil, Hakim Mohd. Zaki.


PUTRAJAYA – Pembunuh model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu terus menjadi misteri selepas Mahkamah Rayuan di sini semalam melepas dan membebaskan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas Bukit Aman, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar daripada tuduhan tersebut.

Keputusan sebulat suara oleh panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Hakim Datuk Linton Albert dan Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat itu sekali gus mengetepikan sabitan serta hukuman gantung yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 April 2009.

Hakim Tengku Maimun yang membacakan penghakiman sebanyak empat muka surat berkata, Hakim Mahkamah Tinggi didapati tersilap dan terkhilaf ketika menjatuhkan hukuman terhadap kedua-dua perayu.

“Melihat kepada keseluruhan kes, kami berpendapat kesan kumulatif kepada salah arah oleh Hakim Mahkamah Tinggi menjadikan sabitan terhadap mereka adalah tidak selamat,” kata beliau.

Kedua-dua perayu yang berdiri di kandang pesalah kelihatan terpaku selepas mendengar keputusan sebelum Sirul kedengaran mengucapkan terima kasih kepada mahkamah manakala Azilah pula meraup muka tanda lega.

Azilah, 37, Sirul, 41, didakwa membunuh Altantuya, 28, di satu kawasan antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara pukul 10 malam 19 Oktober dan pukul 1 pagi 20 Oktober 2006. Jika sabit kesalahan, kedua-dua boleh digantung sampai mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.