Dibina untuk kembara


XJ6 Diversion boleh dikategorikan sebagai jentera mudah dikendalikan biarpun anda seorang penunggang amatur.


SEKITAR pertengahan tahun 2011 menyaksikan Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) mengorak langkah menceburi segmen motosikal kelas pertengahan menerusi pengenalan model XJ6 Diversion.

Model yang dilancarkan di Port Dickson, Negeri Sembilan itu merupakan salah satu daripada tiga varian dalam rangkaian keluarga XJ6 iaitu semi fairing.

Dua lagi varian lain yang tersedia di pasaran global ialah XJ6 (naked) dan XJ6 Diversion F. Tidak lupa juga beberapa versi yang dilengkapi sistem brek antikekunci (ABS).

Model XJ6 Naked telah menemui peminat tempatan pada tahun lalu dan telah diuji awal bulan Jun lalu. Kolum tunggang uji kali ini mengetengahkan model naik XJ6 Diversion 2013.

Perbezaan utama antara model naik taraf dan edisi 2011 tidak begitu signifikan. Ia hanya melibatkan transformasi kosmetik iaitu cat baharu, perumah lampu isyarat membelok dan pemegang tempat duduk belakang.

Tiada sebarang perubahan dilakukan pada enjin XJ6 Diversion edisi 2013. Hamburan kuasa masih diperoleh daripada enjin empat silinder sebaris. Ledakan kuasa didapati masih linear dan sama seperti varian naked. Kuasa kilas mudah diperoleh pada pusingan enjin seminit (RPM) rendah.


PANEL meter yang diasingkan daripada hendal memaparkan pelbagai maklumat semasa kepada penunggang.


Sesi tunggang uji kali ini diadakan di kawasan bandar, laluan lebuh raya dan jalan lama dari Kuala Lumpur menuju Ipoh, Perak sebelum kembali semula ke ibu kota.

Pada awalnya, saya memiliki satu persepsi bahawa varian XJ6 Diversion sedikit sukar untuk dikemudi di laluan sempit berbanding model naked. Mungkin tanggapan itu disebabkan oleh saiz fairing hadapan yang sedikit besar dan gagal melihat roda hadapan apabila duduk di atas pelana jentera.

Tanggapan itu sebenarnya tidak benar setelah saya mengharungi kesesakan di Jalan Kuching di ibu kota pada waktu puncak. Apa yang pasti, ia bukan mendatangkan masalah besar untuk jentera ini menyelinap masuk antara barisan kenderaan empat roda.

Cuma perhatian perlu diberikan pada cermin pandang belakang kerana saiznya agak besar dan sedikit terkeluar. Jika leka, berkemungkinan perumah cermin itu akan bergesel pada cermin pandang sisi kereta.

Tetapan suspensi belakang berjaya memuaskan hati saya. Ia melaksanakan tugas dengan cemerlang. Kadar rendamannya selari dengan corak tunggangan saya. Jika ia terlalu keras atau lembut, anda boleh mengubah tetapan secara manual.

Laluan di jalan lama benar-benar melonjakkan keseronokan tunggangan jentera seberat 205 kilogram ini. Aspek kestabilan boleh diberi pujian. Responsnya agak lincah dan tidak banyak tenaga diperlukan untuk mengemudi jentera di kawasan selekoh.


TIADA sebarang talaan baharu diberikan kepada rangkaian kuasa asal XJ6 Diversion


Berbekalkan ergonomik ketinggian pelana dan posisi hendal, motosikal bersesaran 600cc ini boleh dikategorikan sebagai produk untuk mereka yang ingin menaik taraf jentera sedia ada.

XJ6 Diversion mudah mencecah paras kelajuan 200 kilometer sejam (km/j) dan kesan tamparan angin disalurkan keluar menerusi penghadang angin yang berada di hadapan instrumen meter.

Pengisian dua kali tangki petrol penuh membolehkan saya mencapai jarak tunggangan sejauh 738km. Secara purata, satu liter menawarkan jarak perjalanan sejauh 20km.

Setakat ini, sudah lebih 1,000 unit motosikal itu dijual kepada pelanggan sejak diperkenalkan pada 2011.

Mungkin angka jualan itu masih kecil namun ia tidak bermakna XJ6 Diversion bukan sebuah model motosikal yang bagus. Cubalah tunggang dahulu. Silap-silap boleh terpikat.