Lakaran mural indahkan Kathmandu


SEORANG pelajar sekolah memerhatikan lakaran mural di sebelah sebuah kedai menjual sayur di Kathmandu, Nepal kelmarin.


KATHMANDU - Ibu kota Nepal di sini diberi wajah baharu oleh sepasukan artis seni yang ditubuhkan untuk mengindahkan bandar raya tersebut dengan melukis berpuluh-puluh mural atau lukisan dinding dan tembok.

Pengarah projek berkenaan, Yuki Poudyal berkata, mural yang dilukis itu memaparkan isu-isu sosial Nepal termasuk permerdagangan kanak-kanak.

Katanya, lakaran seni visual dinding itu diilhamkan bagi mengganti risalah politik, poster filem dan iklan membosankan yang ditampal pada dinding di sini.

Seramai 60 artis seni terlibat di dalam projek berkenaan yang dinamakan Kolor Kathmandu.

Inisiatif itu bermula Januari lalu dan sampai ke kemuncaknya pada Khamis lepas dengan pelancaran sebuah buku fotografi pada mural.

"Kathmandu merupakan sebuah bandar raya seni dan budaya.

"Namun, setelah saya kembali ke Nepal selepas lima tahun belajar di Amerika Syarikat saya melihat bandar ini dipenuhi poster yang membosankan," kata Poudyal.

Tambahnya, pasukan artis seni dari 20 negara menjadikan beberapa bangunan awam dan swasta sebagai kanvas mereka.

Dalam tempoh sebulan sahaja sebanyak 75 mural telah berjaya dihasilkan.

Kesemua mural itu memaparkan tema keagamaan dan abstrak di samping mengetengahkan masalah sosial di Nepal termasuk diskriminasi kasta. - AFP