Datangnya Metallica, adil untuk semua


METALLICA menampilkan konsert artis luar negara yang terbaik di Malaysia setakat ini.


SALAH satu fakta 31 tahun kelahiran Metallica, grup yang mendewasakan ramai peminat ini sudah mengadakan konsert di 60 buah negara. Fakta yang lebih menggembirakan, Malaysia ialah salah satu dari negara yang dijejaki James Hetfield, Kirk Hammett, Robert Trujillo dan Lars Ulrich!

Penantian selama 31 tahun dibayar dengan kepuasan tahap maksimum yang diberikan oleh grup yang lama ditunggu-tunggu oleh para peminat. Kedatangan Metallica yang ditubuhkan pada tahun 1981 itu telah membayar kerinduan dan mungkin pengorbanan pada masa lalu para peminat mereka yang dahagakan visual persembahan hebat di depan mata sendiri.

Pastinya tarikh 21 Ogos 2013 akan tetap berada sebagai momen paling berharga untuk peminat tegar grup ini. Apatah lagi persembahan Metallica kalau disebut hebat, akan kedengaran sebagai satu pernyataan yang masih di bawah kenyataan. Ia boleh dikatakan persembahan luar negara paling hebat yang pernah diadakan di Malaysia. Maaf, bukan terlampau memuji tetapi ini fakta.

Mereka sangat hebat dan bertenaga. Ia merupakan tenaga dua haluan, disalurkan dan diserap oleh kedua-dua pihak iaitu Metallica dan peminat mereka sendiri. Jumlah 50,000 khalayak yang membanjiri Stadium Merdeka, Kuala Lumpur memberikan gegaran yang cukup luar biasa untuk sebuah konsert.

Sudah tentu tatacara konsert ini dimulakan dengan Hit The Lights yang merupakan lagu rasmi pertama grup ini, kepanasan disambung dengan lagu Master of Puppets yang merupakan lagu terbanyak dimainkan di pentas dengan jumlah 1,256 kali. Persembahan kemudian berlarutan dengan lagu-lagu epik milik grup tersebut antaranya Nothing Else Matters, For Whom The Bell Tolls, Seek & Destroy dan Enter Sandman.

MENYANYI dan bermain instrumen tanpa henti, Metallica hebat!


Vokal James Hetfield ternyata tidak berubah, gagah dan bertenaga begitu juga dengan tiga jentera yang lain yang memukau dengan permainan mereka yang boleh dikatakan hampir sempurna. Mereka 'memberi' apa yang penonton mahukan, hampir 50,000 orang menyanyi bersama, vokal agresif dan pukulan drum membabi buta Metallica. Apa lagi ditambah dengan sistem bunyi yang sangat cemerlang dan tatacara lampu yang selaras dengan persembahan malam tersebut.

Menambah selera dan semangat penonton untuk menyaksikan secara langsung konsert yang dibawakan oleh Galaxy Group dengan kerjasama LAMC Productions dan Rockstar Touring itu ialah momentum dan kesinambungan daripada sebuah lagu ke lagu seterusnya.

Senarai lagu yang sama dalam setiap konsert jelajah Asia, setiap lagu pastinya memberikan nostalgia tersendiri buat penonton terhadap grup yang telah berjaya menjual 100 juta rekod sepanjang penubuhan mereka.

Apa lagi yang perlu diceritakan tentang Metallica kerana mereka ternyata sudah hebat mulai saat merealisasikan impian khalayak Asia bertemu mereka. Seperti judul album ke empat mereka, ...And Justice for All kedatangan mereka adalah keadilan buat para peminat. Kibaran bendera Malaysia dan percubaan Kirk Hammett dan Robert Trujillo berbahasa Melayu sudah 'merumpunkan' suasana. Terima kasih Metallica, sila datang lagi atas nama kehebatan dan pertemuan universal.