Pendidikan fatwa perlu diperluas - Mufti Kelantan

25/08/2013 9:56pm

KOTA BHARU - Pendidikan berkaitan fatwa perlu diperluas bagi mengelak berlakunya krisis keyakinan dalam kalangan masyarakat, kata Mufti kerajaan negeri Kelantan Datuk Shukri Mohamad.

Beliau berkata, pendidikan itu dapat memberi platform bagi memperjelas keputusan fatwa yang diputuskan agar mudah difahami masyarakat.

"Masyarakat hari ini akan mempersoal sesuatu fatwa yang dikeluarkan, dan ia perlu kepada penjelasan serta hujah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pendidikan Fatwa Kesihatan Peringkat Negeri Kelantan hari ini.

Shukri berkata sehingga kini, lebih 300 keputusan dan pandangan hukum diputus oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa dalam pelbagai isu serta perkara dalam pelbagai aspek kehidupan.

"Keputusan muzakarah itu banyak berkait rapat dengan kepentingan nasional dan masyarakat awam yang perlu diberi perhatian serta dipatuhi," katanya.

Seminar itu dihadiri kira-kira 700 peserta melibatkan pelajar dan penjawat awam. - Bernama