Bunraku papar kisah dongeng Jepun



PUTERI Yaegaki menari riang di sekitar taman sambil memikirkan tunangnya, Takeda Katsuyori. Namun, liuk-lentuknya mula berubah setelah memakai mahkota. Wataknya berubah menjadi agresif apabila empat ekor rubah menyentuh mahkota kesayangannya yang disimpan di sebuah tempat di taman itu.

Skrip yang dibaca oleh pencerita (tayu) semakin lantang dan pantas ketika Puteri Yaegaki berada berhampiran tasik untuk melihat bayangan wajahnya di permukaan air. Situasi bertambah cemas apabila wajah puteri bertukar menjadi seekor rubah pada bayangan permukaan air tasik itu.

Tiga orang pemain gitar tiga tali (shamisen) pula memainkan alunan yang cemas ketika tuan puteri sedang bersedih kerana tidak dapat menerima bayangan wajah yang menakutkan dirinya sendiri.

Di sebalik watak puteri itu, kelihatan seorang lelaki tua dibantu oleh dua orang yang memakai pakaian serba hitam (ashizukai) tenang dalam mengendalikan boneka watak tuan puteri itu. Mereka seolah-olah dipukau oleh pencerita.

Pergerakan boneka

Kisah tersebut merupakan antara babak yang dipaparkan dalam persembahan teater tradisional masyarakat Jepun iaitu Bunraku di ibu negara baru-baru ini. Delegasi dari Osaka, Jepun iaitu Bunraku Minosuke-Kai merupakan antara syarikat yang bertanggungjawab membawa teater yang dianjurkan oleh Kelab Jepun Kuala Lumpur, Kedutaan Jepun di Malaysia, Yayasan Jepun dan Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPac).

"Ini merupakan pengalaman pertama saya bersama keluarga menonton teater Bunraku. Saya amat tertarik dengan pergerakan boneka dalam setiap persembahan Bunraku. Ia seoalah-olah hidup dan menjiwai setiap bait perkataan yang disampaikan oleh pencerita," ujar salah salah seorang penonton Haslinda Abd. Halim, 34, ketika ditemui Kosmo! sejurus selepas menonton persembahan teater Bunraku di KLPac baru-baru ini.

Menurut ibu kepada empat orang cahaya mata ini, keluarganya meminati seni teater lebih-lebih lagi teater yang menggunakan patung dan boneka sebagai peralatan utama dalam persembahan.


BONEKA dalam persembahan Bunraku diukir menggunakan batu, tanah liat dan kayu oleh pakar di Osaka, Jepun.


"Saya pasti akan membawa anak-anak menonton teater dari luar negara di Malaysia. Menerusi persembahan Bunraku ini, ia sekali gus memberi idea mengenai corak kostum boneka dari Jepun kepada anak-anak saya yang terlibat dalam seni persembahan boneka tangan di sekolah mereka," ujarnya.

Dalam hierarki pementasan teater Bunraku, pengendali boneka merupakan individu yang paling dihormati dan terpenting dalam kumpulan teater itu. Kanjuro Kiritake III merupakan satu-satunya pengendali boneka dalam syarikat Bunraku Minosuke-Kai.

Minat Kanjuro Kiritake III terhadap boneka dalam persembahan boneka tradisional Jepun yang dikenali sebagai Bunraku bermula sejak Mei 1965. Ketika itu, dia masih menuntut di tahun dua sekolah menengah dan sering mengikut dan membantu ayahnya, Kanjuro Kiritake II, mengadakan persembahan di Osaka, Jepun.

Seperti kanak-kanak lain, sifat ingin tahu yang membara menyebabkan dia terus menggali seni persembahan tersebut. Setiap gerak-geri ayahnya yang mengawal pergerakan kepala, mata, kening dan mulut boneka dengan sempurna menawan hatinya untuk mendekati seni kuno itu.

Menyedari minat Kanjuro, bapanya telah menghantar beliau menuntut ilmu dengan seorang guru Bunraku yang disegani di Osaka iaitu Minosuke Yoshida III.

Kini, pada usia 60 tahun, Kanjuro telah menjadi seorang pengendali boneka yang terkenal di Osaka. Malah, beliau juga merupakan salah seorang tenaga pengajar di sebuah akademi Bunraku di bandar tersebut.

Bermula sejak Zaman Edo iaitu kira-kira 400 tahun lalu, Bunraku merupakan salah satu seni persembahan warisan Jepun yang setaraf dengan Nohgaku dan Kabuki.

Teknik penceritaan

Seni persembahan yang berasal dari Osaka itu menggabungkan teknik penceritaan dengan iringan muzik dan persembahan drama boneka.

Pementasan Bunraku mempunyai 125 kisah berbeza pada Zaman Edo. Setiap kisah dibawa oleh watak-watak berbeza mengikut jalan cerita yang tertulis dalam buku yang diturunkan daripada satu generasi ke generasi lain.

Dua watak utama dibawa oleh dua pengendali boneka utama dalam satu-satu pementasan dan dibantu oleh pengendali boneka berpakaian serba hitam (ashizukai).

Pengendali boneka dalam Bunraku memerlukan masa yang panjang untuk mahir sepenuhnya.

"Sebuah boneka dalam sesuatu persembahan dikendalikan oleh tiga individu. Sebagai ketua, saya mengawal pergerakan kepala dan tangan kanan boneka, manakala bahagian tangan dan kaki kiri pula dikawal oleh dua pembantu.

"Saya mengambil masa selama 15 tahun untuk mahir. Bagaimanpun, untuk mahir dalam segenap aspek persembahan Bunraku seperti menyelaraskan boneka dengan muzik dan pencerita, ia mengambil masa selama tiga dekad," kata Kanjuro yang menghabiskan lebih daripada separuh umur untuk mendalami Bunraku. Beliau ditemui pada sidang akhbar persembahan sulung Bunraku di Asia Tenggara yang bertempat di KLPac baru-baru ini.


KEMAJUAN ekonomi di Osaka tidak menjejaskan pembangunan seni tradisional di Jepun.


Kisah dongeng

Persembahan Bunraku bukan sekadar menggerakkan satu watak boneka, tetapi setiap gerak-geri, kelopak mata boneka itu mampu menghidupkan cerita.

Menonton Bunraku ibarat menonton persembahan wayang kulit di negeri Kelantan. Ia sarat dengan elemen-elemen tradisional dan kisah-kisah dongeng masyarakat Jepun dahulu kala.

Ia merupakan salah satu hiburan kebanyakan masyarakat setempat di Osaka sekitar tahun 1950-an hingga 1970-an. Osaka merupakan merupakan bandar ketiga terbesar di Jepun selepas Tokyo dan Yokohama. Bandar yang terkenal sebagai destinasi pelancongan di negara itu mempunyai kepadatan penduduk berjumlah 2.5 juta.

Namun, Bunraku kurang digemari dalam kalangan orang muda. Bunraku dipersembahkan di Teater Bunraku Kebangsaan Osaka sepanjang tahun. Rata-rata penonton setia terdiri daripada wanita pertengahan usia. Persembahan bermula pada sebelah petang hingga waktu malam.

"Golongan lelaki lebih gemar menonton pada cuti hujung minggu," jelas Kunjaro bahawa bahasa yang digunakan dalam pementasan Bunraku menggunakan bahasa Jepun kuno semasa Zaman Edo.

Bagaimanapun, bahasa yang kurang difahami oleh masyarakat di Jepun itu menyebabkan Bunraku kurang diminati oleh golongan muda Jepun. Sehubungan itu, sari kata digital disediakan pada setiap persembahan.

Dalam usahanya mengangkat seni tradisi tersebut, beliau dan pasukan pementasannya menghabiskan sebanyak 136 hari setahun untuk melawat seluruh tempat di Jepun bagi mengadakan pementasan Bunraku.

Ia merupakan salah satu cara mereka menghidupkan seni tradisi ini. Sekurang-kurangnya 20 buah bandar di Jepun berjaya mereka jejaki setiap tahun. Mereka turut mengadakan persembahan selama dua minggu di setiap bandar.

"Pada bulan Jun dan Disember pula, kami mengadakan persembahan di sekolah-sekolah sekitar Osaka dan Tokyo bagi memupuk minat kanak-kanak agar terus menghargai seni tradisi ini," jelasnya. Keseluruhan daripada kehidupan Kanjuro dihabiskan untuk mendalami ilmu-ilmu yang terkandung dalam pementasan Bunraku.


PERANAN Takemoto Tsukomadayu (kiri) sebagai pencerita (tayu) dan pemain alat muzik shamisen, Tsuruzawa Enza merupakan tulang belakang dalam setiap persembahan Bunraku.


Antara cabaran terbesar pementasan ini ialah penghayatan watak. Setiap karakter boneka memerlukan saya sentiasa fokus untuk menghidupkan boneka-boneka tersebut.

"Saya kini berusia 60 tahun dan adakalanya perlu mengendalikan boneka seorang puteri. Usia pada setiap boneka tidak berubah seperti usia saya. Keserasian itu harus diwujudkan dan diserlahkan dalam setiap pementasan," katanya.

Tambah beliau, pengendali boneka perlu mengetahui cara untuk mempelbagaikan emosi dan watak dalam setiap watak agar terus menambat perhatian penonton.

Sementara itu, pencerita (tayu) dan pemain alat muzik seperti gitar yang mempunyai tiga tali iaitu shamisen merupakan dua tulang belakang dalam setiap pementasan Bunraku.

Menurut Takemoto Tsukomadayu, selaku pencerita yang bersama Kanjuro dalam setiap pementasan memberitahu, skrip yang dibacanya itu merupakan teks asal dan berusia lebih 300 tahun.

"Sebagai pencerita, saya cuba menyampaikan setiap kisah mengikut gaya lama di samping menyelitkan elemen-elemen kontemporari dengan kehidupan masyarakat masa kini," ujarnya yang berpengalaman selama 43 tahun dalam teknik penceritaan pementasan Bunraku.