Surau kontroversi diroboh

Sebuah jentolak digunakan untuk merobohkan sebuah surau yang mencetuskan kontroversi di sebuah pusat peranginan di Kampung Sedili Besar, Kota Tinggi semalam.


KOTA TINGGI – Kontroversi sebuah surau di pusat peranginan di Kampung Sedili Besar di sini yang mencetuskan kemarahan penduduk kerana membenarkan penganut agama Buddha melakukan upacara keagamaan dirobohkan semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Abd. Mutalip Abd. Rahim berkata, surau tersebut dirobohkan oleh pemilik pusat peranginan itu sendiri.

“Kerja-kerja meroboh surau dimulakan dengan membuka bumbung diikuti dengan struktur utama bangunan termasuk kerja-kerja mencabut dan meleraikan sistem pendawaian elektrik,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut beliau, kerja-kerja merobohkan surau yang bermula kira-kira pukul 9 pagi itu terpaksa ditangguhkan pada pukul 3 petang semalam kerana hujan dan akan disambung semula hari ini.

“Surau tersebut sudah 80 peratus dirobohkan dan saya yakin isu ini sudah selesai,” kata beliau.

Pada 12 Ogos lalu, beberapa akhbar mendedahkan klip video yang tersebar melalui Facebook mengenai aktiviti sekumpulan penganut Buddha menjalankan upacara keagamaan di surau tersebut.

Pendedahan tersebut mencetuskan kemarahan pelbagai pihak sehingga seorang rakyat Singapura yang merupakan pemilik pusat peranginan itu dilucut taraf pemastautin tetap (PR) oleh Kementerian Dalam Negeri.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.