Khairunnisa bangkit melawan SLE



SEBELUM ini, Khairunnisa Ahmad Sabri menjalani kehidupan yang riang bersama keluarga, namun lima tahun lalu kakinya mula membengkak sekali gus mengubah perjalanan kehidupannya.

Ketika itu, wanita berusia 26 tahun tersebut beranggapan kakinya membengkak disebabkan masalah berat badan yang dihadapinya.

Dia kemudiannya mendapatkan rawatan di hospital swasta dan diberikan ubat, namun masalah tersebut semakin serius, malah bengkak pada kakinya tidak surut.

Rawatan susulan yang dilakukan di hospital tersebut mendapati anak sulung daripada lima adik-beradik itu mempunyai masalah buah pinggang dan bukannya berat badan. Dia kemudiannya dirujuk ke Hospital Serdang, Selangor.

“Kali pertama saya didiagnosis menghidap SLE (Systemic Lupus Erythematosus) ialah pada bulan Oktober tahun 2007 apabila doktor mengesan gejala Nephritic syndrome selepas menjalani ujian biopsi.

“Kencing kotor yang berbuih dan mengandungi darah, tekanan darah tinggi mencecah bacaan 179/90, manakala bacaan kolesterol pula 6.9,” katanya yang menghidap SLE pada usia 20 tahun.

Tambahnya, dia yang tidak mengetahui mengenai penyakit SLE telah melayari internet dan mendapati penyakit tersebut boleh membawa maut.

“Apabila mengetahui penyakit ini boleh membawa maut, saya menjadi takut dan berputus harap.

“Saya mula merasai kesakitan pada sendi, rambut gugur, sakit lutut, edema (bengkak kaki), mata berdarah dan selalu penat,” ujarnya yang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis ketika mula didiagnosis menghidap SLE pada tahun 2007.

Penyakit kronik

SLE merupakan sejenis penyakit kronik autoimun yang menyebabkan antibodi yang berfungsi melindungi badan bagi melawan penyakit tiba-tiba menyerang sel badan atau organ manusia.

Ia juga dilabel sebagai penyakit pelbagai wajah kerana penghidapnya menunjukkan gejala penyakit lain seperti demam, sakit sendi, keletihan, sakit otot dan ruam kulit.


BERKAT doa dan sokongan keluarga, Khairunnisa berjaya mengharungi saat-saat getir melawan SLE.


Ekoran itu, Khairunnisa berasa sangat sedih malah terpaksa mengambil ubat sehingga 30 biji sehari merangkumi ubat darah tinggi, kolesterol, gout, tulang, kalsium dan steroid.

Sejak itu, berat badannya daripada 70 kilogram (kg) meningkat sedikit demi sedikit sehingga mencecah 125 kg.

“Syukur kerana keluarga memberikan sokongan emosi yang kuat. Sejak itu saya amalkan gaya hidup sihat, ubah cara makan, bersenam dan sentiasa bersikap positif dalam apa jua keadaan.

“Kini, daripada makan 12 biji pil steroid, saya makan sebiji sahaja dan jumlah ubat yang diambil sekarang ialah lima biji berbanding 30 biji sebelumnya,” katanya sambil memberitahu kedua-dua buah pinggangnya masih dalam keadaan baik.

Ketika rakan lain sibuk meneruskan rutin sebagai penuntut di menara gading, Khairunnisa yang pada ketika itu berusia 20 tahun terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Arau dan Hospital Serdang secara berkala.

Sungguhpun begitu, gadis berjiwa kental itu berjaya menamatkan pengajiannya dalam Diploma Sistem Maklumat Perakaunan pada tahun 2008 walaupun terpaksa bergelut dengan kesakitan.


PADA peringkat awal penyakit SLE Khairunnisa dikesan, dia perlu mengambil 30 biji ubat sehari dan daripada jumlah itu 12 biji merupakan pil steroid.


Jika dulu Khairunnisa terpaksa ‘melapor’ diri ke hospital dua minggu sekali bagi memantau keadaan kesihatannya, kini tempoh tersebut dipanjangkan kepada empat bulan sekali untuk tujuan pemeriksaan darah dan urin.

Bersikap positif

Ditanya mengenai reaksi ibu bapanya ketika dimaklumkan doktor mengenai dirinya menghidap SLE, penolong akauntan di Lembaga Minyak Sawit Malaysia itu memberitahu, ibu bapanya tenang sekali dan tidak langsung menunjukkan tanda kerisauan.

“Secara zahirnya, berita mengejutkan itu diterima dengan hati yang tenang, namun gejolak hati mereka hanya Allah yang mengetahuinya.

“Sokongan mereka membuatkan saya kembali kuat untuk meneruskan kehidupan ini. Sebelum itu, saya pernah bertanya kepada ibu, ada atau tidak kubur di sebelah tok bah untuk saya kerana ketika itu saya terlalu tertekan,” ujarnya yang kini reda dengan ketentuan-Nya.

Baginya, setiap yang berlaku pasti ada rahsia dan sebabnya. Apa yang penting, sentiasa bersikap positif dalam apa jua keadaan sama ada ketika sakit mahupun menempuh kehidupan seharian.

“Ikut nasihat doktor, buat pemeriksaan seperti disarankan, jangan dengar kata orang yang tidak tahu tentang penyakit SLE dan bercampur bersama individu positif sahaja,” katanya sambil menitipkan pesanan buat mereka yang senasib.

Walaupun ibunya, Azmawati Ahmad, 51, dan ayahnya, Ahmad Sabri Ibrahim, 53, begitu terkejut dengan penyakit yang dihidapi Khairunnisa, segalanya dihadapi dengan tabah walaupun ada yang secara terang-terangan memberitahu bahawa penyakit itu tidak boleh sembuh dan pengakhirannya adalah maut.

“Hati siapa yang tidak luluh apabila mendengar orang berkata sebegitu. Kami sanggup melakukan apa sahaja untuk menyembuhkan puteri kami.

“Dengar sahaja ada orang pandai mengubat, terus kami pergi,” ujar Azmawati yang turut membawa anaknya berjumpa lebih 10 orang pengamal perubatan alternatif.

Doanya tidak pernah putus supaya kesihatan anaknya kembali pulih seperti sedia kala. Walaupun hatinya sentiasa gundah dan air mata terlalu murah tumpah, namun tidak sekali-kali si ibu menunjukkan kesedihan di hadapan anaknya itu.

“Kami sekeluarga memberikan sokongan padu kepadanya dan mahu dia sentiasa berfikiran positif dalam menghadapi ujian kehidupan.

“Bagi mereka di luar sana yang mengalami situasi yang sama, berilah sokongan kepada ahli keluarga atau kenalan yang menghidap SLE kerana ia mampu mengubah kehidupan mereka dan jangan sesekali abaikan nasihat doktor,” pesannya.