Kembar Siam berkongsi dada berjaya dipisahkan


KEADAAN Owen dan Emmett Ezell selepas dilahirkan pada 15 Julai dan dirawat di unit rawatan rapi Hospital Kanak-Kanak Medical City di ibu negeri Texas, Amerika Syarikat. - Agensi


DALLAS - Ibu kepada sepasang kembar Siam yang berjaya dipisahkan memberitahu dia tidak sabar untuk mendukung dua bayi berkenaan.

Jenni Ezell sebelum ini menyangka kembar Siam yang berkongsi bahagian dada itu tiada harapan untuk hidup.

"Saya sungguh gembira mereka masih hidup. Ia perasaan paling hebat di dunia," kata Ezell dalam satu sidang akhbar di Hospital Kanak-Kanak Medical City di ibu negeri Texas di sini kelmarin.

Bayi kembar Siam lelaki itu, Owen dan Emmett Ezell dipisahkan pada Sabtu lalu selepas mereka lahir pada 15 Julai lepas dengan bahagian dada yang bercantum.

Bayi kembar Siam itu berkongsi hati dan usus.

"Keseluruhan proses kehamilan itu amat menakutkan. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku," ujar Ezell.

"Saya juga tidak tahu sama ada mereka akan selamat. Ia perasaan yang sukar untuk seorang ibu," tambahnya.

Kembar Siam itu dipisahkan dalam satu pembedahan yang melibatkan sepasukan pakar dan mengambil masa sembilan jam.

"Buat masa ini kedua-dua bayi itu stabil," kata seorang pakar bedah, Dr. Clair Schwenueman.

Fenomena bayi kembar Siam jarang berlaku. Menurutnya, kebarangkalian kembar Siam dilahirkan adalah satu dalam setiap 200,000 kelahiran. - AP