Rela bayar gaji pengadil

PRESIDEN Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim secara terbuka menyatakan kerelaannya untuk mengeluarkan duit poketnya sendiri bagi membayar khidmat pengadil yang mengadili perlawanan Liga Malaysia (Liga M) jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mampu membiayai gaji mereka.

Tunku Ismail berkata, kenyataannya bukan untuk memperlekeh sesiapa tetapi apa yang dilakukan adalah bertujuan untuk meningkatkan mutu pengadilan bola sepak Malaysia.

Pada hemat Tunku Ismail, beberapa cara pengadilan yang dipraktikkan oleh pengadil di negara ini terlalu lemah disebabkan atas dua faktor utama iaitu berpunca daripada kurangnya pengetahuan atau dihantui masalah rasuah.

“Saya tiada agenda peribadi dan saya tiada niat untuk menentang FAM tetapi bagi saya, mereka perlu tegas.

“Saya percaya orang ramai mahu satu tindakan diambil dan FAM perlu membuktikan integritinya,” kata Tunku Ismail pada sidang akhbar di Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru semalam.

Menurut Tunku Ismail, isu pengadil ‘berat sebelah’ juga bukan satu perkara baharu dan beliau bertekad untuk terus memperkatakan tentang isu berkenaan selagi FAM tidak mengambil langkah-langkah serius mengatasinya.

“Ia bukan satu masalah yang tidak boleh diselesaikan tetapi apabila wujud sifat tidak amanah oleh individu dalaman yang tidak bertanggungjawab, ia sekali gus mampu menghancurkan masa depan arena bola sepak tempatan,” ujarnya lagi.

Tunku Ismail turut mengingatkan para pemain Johor Darul Takzim (Johor DT) mahupun Johor agar tidak terjebak dengan gejala bookie dan mengatur perlawanan bagi mengelak diri mereka disingkirkan serta merta.

Dalam perkembangan berkaitan, Tunku Ismail berkata, pihaknya telah menghantar aduan secara bertulis serta bukti dalam bentuk rakaman yang dimuatkan dalam cakera padat kepada FAM berhubung mutu pengadilan.

“Namun, sehingga kini, tiada sebarang maklum balas diterima.

“Jika sudah tidak berminat untuk mentadbir dengan penuh integriti, beri peluang kepada orang lain yang lebih berkelayakan, (pegawai FAM) sila letak jawatan dan biarkan ia diisi oleh individu lain yang lebih layak menjawatnya.

“Saya lihat, kualiti permainan oleh para pemain semakin meningkat tetapi sayangnya ia dicacatkan pula mutu pengadilan yang tidak memuaskan,” katanya.

Mengenai video yang antara lain merakamkan tindakannya memarahi seorang pengadil yang tersebar luas dalam laman sosial baru-baru ini, Tunku Ismail menegaskan, ia merupakan satu tuduhan semata-mata.

Tunku Ismail menjelaskan, beliau hanya mahu mendapatkan penjelasan daripada pengadil terbabit yang pada pandangannya telah membuat keputusan salah ketika mengadili aksi Piala Malaysia antara Johor DT dan Felda United.

“Saya bukan memarahi pengadil itu, saya hanya mahukan jawapan atas beberapa keputusan pengadil itu.

“Saya yakin keputusan pengadil itu tidak patut dikenakan terhadap pemain Johor DT dan hingga kini saya menunggu jawapan yang sewajarnya dan tiada siapa pun yang boleh menjawabnya,” katanya.