Polis mohon saksi tampil bantu siasatan berkaitan kemalangan babitkan anggota

31/08/2013 7:50pm

BELURAN - Polis meminta kerjasama orang ramai untuk membantu siasatan berhubung kes kemalangan maut di Km53 Jalan Beluran-Telupid Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Beluran, Deputi Superintendan V. Sivanathan berkata, mereka boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Nasyrul Ridzuan Abd Razak ditalian 014-8673360 atau Ibu Pejabat Polis Daerah di talian 089-511222.

Kejadian tersebut mengorbankan lima nyawa termasuk tiga anggota polis

dari Daerah Beluran iaitu Koperal Saudi Meting, Koperal Hedzrin Ginan dan Lans Koperal Khairul Firdaus Abrahim.

Yang cedera ialah Koperal Mohd. Zaini Mohd. Razwan dan dua orang

awam yang masih ditempatkan di Hospital Duchess Of Kent, Sandakan.

"Keadaan mereka dilaporkan stabil," katanya kepada Bernama hari ini.

Sivanathan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta

Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kematian. - Bernama