Jurang 750 kilometer ditemui di Greenland


JURANG seluas 750 kilometer ini menyamai panjang sungai River Severn, di Britain.


WASHINGTON - Sebuah jurang dua kali ganda lebih besar daripada sungai terpanjang di Britain dan sedalam lembah Grand Canyon ditemui di bawah lapisan ais di Greenland, kata sepasukan saintis kelmarin.

Sebelum Pulau Greenland dilitupi ais sekitar 4 juta tahun dahulu, jurang itu dipercayai menjadi laluan utama air sungai dari pedalaman ke kawasan pantai.

Malah, pada hari ini, terusan sungai yang dalam itu masih mengalirkan air cairan glasier ke hujung lapisan ais menuju ke ke dalam laut.

Jurang tersebut berasal dari tengah Greenland dan berakhir di pantai utara pulau berkenaan.

"Penemuan jurang seluas 750 kilometer berusia berjuta-juta tahun di bawah timbunan salji itu sangat menakjubkan," kata saintis Kaji Selidik Antartika Britain, David Vaughan.

"Lapisan ais itu turut menyumbang kepada paras turun naik air laut, dengan penemuan ini dapat membantu kami memahami perubahan iklim yang berlaku," katanya lagi.

Pasukan saintis berkenaan menemui jurang tersebut menggunakan radar milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) melalui Operasi IceBridge.

Operasi itu menggunakan gelombang radio yang boleh menembusi lapisan ais untuk mengukur kedalaman dasar laut. - AFP