KL Gangster 2 tayang 3 Oktober

YUSOF mahu pihak yang mensabotaj filem KL Gangster 2 dikenakan tindakan.


DUA tahun mengambil masa untuk proses suntingan dan belum pun sempat menemui penonton dengan penuh besar jiwa, filem KL Gangster 2 disambar dalang siber.

Pada Rabu lalu, kekecohan mula menular. Filem yang dijangka mengulangi sejarah kejayaan KL Gangster 1 yang mencatat kutipan hampir RM12 juta itu boleh ditonton hampir keseluruhan daripada durasi sebenar tanpa sebarang bayaran menerusi internet. Selaku pengarah, Syamsul Yusof sudah pun membuat laporan polis. Perkara itu sendiri mendapat perhatian Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut mengusulkan kepada pihak Skop Production Sdn. Bhd. dan Grand Brilliance Sdn. Bhd. selaku produser untuk menayangkan KL Gangster 2 lebih awal.

"Saya telah diberikan kebenaran oleh Datuk Seri Shabeery Cheek untuk menayangkan KL Gangster 2 lebih awal, namun saya tidak sanggup berlaku tidak adil kepada rakan-rakan produser lain yang telah sekian menunggu tarikh lama tayangan filem mereka. Ia seolah-olah saya memijak kepala mereka demi kepentingan filem ini.

"Buat masa ini, beberapa petunjuk dan bukti sedang dikumpulkan dan kami menyerahkan hal ini kepada pihak berkuasa untuk membuat keputusan dan mengambil tindakan kepada pihak yang mensabotaj filem KL Gangster 2," tegas Datuk Yusof Haslam pada satu sidang media di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional, pada Jumaat lalu.

Filem itu dijadualkan ditayangkan pada 3 Oktober depan. Ekoran tekanan teruk yang dihadapi Syamsul, dia yang sepatutnya hadir pada sidang media itu gagal menampilkan dirinya.

SYAMSUL YUSOF


Sebelum ini, Syamsul meluahkan kemarahannya terhadap perompak siber yang telah membocorkan filem arahannya yang berbaki sebulan lagi sebelum ia ditayangkan kepada umum.

Selaku penerbit sementelah pelakon yang turut terlibat dalam filem berkenaan, Rosyam Nor juga meluahkan kekesalannya berhubung perkara itu.

Menyifatkan pihak yang tidak bertanggungjawab membocorkan filem KL Gangster 2 ke laman YouTube sebagai penjenayah siber, Rosyam tidak sabar untuk melihat penjenayah itu ditangkap dan diheret ke muka pengadilan.

"Ini pertama kali dalam sejarah penerbitan filem, Malaysia berdepan jenayah seperti ini. Bukan sekadar footage, tetapi saya dimaklumkan seluruh filem berkenaan boleh ditonton secara haram sejak penyebarannya mula dikesan pada Rabu lepas.

"Saya merayu kepada seluruh pencinta filem tanah air, peminat yang menyayangi hasil kerja Syamsul begitu juga khalayak yang menghormati karya Yusof, inilah masanya kita semua memberikan sokongan kepada KL Gangster 2 dengan menolak cetak rompak.

"Saya juga percaya, peminat filem yang tegar tidak akan puas hanya sekadar menonton filem di YouTube, mereka sudah boleh berfikir dan tetap akan menggegarkan panggung apabila filem itu ditayangkan pada Oktober ini," katanya dengan bersungguh-sungguh ketika dihubungi Sensasi Bintang.

ROSYAM NOR


Mendakwa penyebaran filem KL Gangster 2 itu sebagai tindakan paling tidak bermaruah yang berlaku ke atas karyawan filem, ia juga seolah-olah dianggap satu penghinaan dan zalim yang dilakukan terhadap pembikinan filem di Malaysia.

"Khalayak kena faham dan lihat bagaimana kami sebagai karyawan sedang berusaha untuk memantapkan dan membangunkan kualiti filem tempatan. Saya cukup yakin, dalam situasi kemerosotan jumlah kutipan filem ketika ini, kehadiran KL Gangster 2 mampu mengubah lanskap pasaran lembap yang dilalui oleh filem tempatan," katanya yang turut hadir pada sidang media khas itu.

Sengaja menjentik emosi Rosyam, adakah berita penyebaran filem itu satu daripada strategi Skop Production untuk membiakkan bahang penayangan KL Gangster 2 yang bakal masuk panggung dalam tempoh lebih sebulan dari sekarang, Rosyam menolak dakwaan itu keras.

"Itu kerja gila. Kalaulah saya penerbitnya pun, mati hidup semula pun saya tak akan buat begitu. Yusof, Syamsul dan seluruh karyawan tidak akan sanggup berbuat begitu. Itu gila, bukan itu strateginya," tutup Rosyam yang berjanji akan bersatu hati bersama penerbit KL Gangster 2 untuk mempromosi filem itu secara agresif.