Mati ditembak dalam kuil


JAGANATHAN


NUSAJAYA - Seorang bekas tahanan Ordinan Darurat (EO) yang dipercayai menjadi kepala gengster Geng 21 maut akibat ditembak tanpa belas kasihan ketika dia sedang melakukan upacara sembahyang di sebuah kuil di Taman Nusantara dekat Gelang Patah kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 7.30 malam itu, K. Jaganathan, 37, seorang penternak lembu mati selepas terkena beberapa das tembakan yang dilepaskan dari jarak dekat oleh seorang lelaki bermotosikal.

Difahamkan, si mati pernah ditahan di Penjara Simpang Renggam, Kluang, Johor selama dua tahun selain turut terlibat dengan kumpulan kongsi gelap.

Geng 21 aktif melakukan pelbagai jenayah di Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur.

Ketika kejadian, mangsa berada di dalam kuil itu bersama ibu, isteri dan tiga anaknya namun ahli keluarganya tidak cedera.

Ibu Jaganathan, M. Letchumi, 63, berkata, kejadian itu berlaku terlalu pantas apabila seorang lelaki yang memakai topi keledar bertutup penuh, iaitu pembonceng motosikal masuk ke dalam kuil berkenaan dan melepaskan tembakanbertubi-tubi ke arah anak lelakinya.

Tembakan itu mengenai dada, bahu dan belakang mangsa.

Ketika kejadian, terdapat lebih 10 orang yang sedang bersembahyang di dalam kuil berkenaan bertempiaran lari.

Suspek kemudian beredar bersama seorang lagi rakannya dengan menunggang motosikal jenis Yamaha LC putih.

"Apa salah anak saya? Mengapa mereka menembak dia tanpa belas kasihan," kata Letchumi ketika ditemui semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, mangsa yang cedera parah disahkam mati selepas dibawa ke sebuah klinik berhampiran dan mayatnya dihantar ke HSA untuk dibedah siasat.

Siasatan awal mendapati si mati yang tinggal di Taman Universiti, Skudai memiliki lapan rekod jenayah termasuk kes bunuh.

"Susulan kejadian tembak itu, polis menahan lelaki berusia 30-an di kawasan Gelang Patah pada pukul 10 malam kelmarin.

"Dengan penahanan itu, kita percaya kes ini dapat diselesaikan," kata beliau.

Polis setakat ini, masih menyiasat motif sebenar kejadian termasuk pembabitan si mati dalam kumpulan kongsi gelap Geng 21 serta aktiviti-aktiviti jenayah lain.