Khairul Fahmi, Mohd Farisham tidak ke China kerana cedera

02/09/2013 11:36pm

PETALING JAYA - Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal menuntut pemain yang dipanggil menjalani latihan pusat sejak semalam supaya mengekalkan prestasi semasa masing-masing.

Walaupun mengakui kebanyakan pemain skuad Harimau Malaya mengalami keletihan akibat beraksi dalam empat perlawanan dalam kempen Piala Malaysia dalam tempoh 11 hari, Rajagobal yakin prestasi semasa pemain tidak akan merudum.

"Saya bimbang kerana kebanyakan pemain yang melaporkan diri agak keletihan kerana terpaksa beraksi dalam empat perlawanan untuk tempoh masa yang singkat.

"Jadi,saya akan menggunakan tempoh yang ada ini untuk memulihkan kembali prestasi para pemain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan skuad berkenaan di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Menyentuh mengenai kecederaan pemain skuad Harimau Malaya, Rajagobal berkata beliau terpaksa menyisihkan dua pemain Kelantan iaitu penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat dan Mohd Farisham Ismail yang mengalami kecederaan.

Tempat mereka digantikan oleh dua pemain daripada skuad simpanan iaitu penjaga gol Kedah, Abdul Hadi Hamid dan pemain pertahanan ATM, Affize Faisal Mamat. - Bernama