Punya agenda tersendiri



SOPAN dia bersalaman dan memperkenalkan diri. Senyum bertaut sebelum bicara kami meleret berjam-jam. Dari satu topik kepada topik lain bicara kami melompat.

Pada saat rancak berbicara, banyak mata memerhati, cuba meneka siapa lelaki kurus dengan rambut lurus halus di hadapan saya yang pada masa sama, hampir rokok tidak terlepas dari tangannya sepanjang sesi temu bual berlangsung.

Dia, Amerul Affendi Mohd. Mawardi. Ironi, memang tidak terkenal langsung tuan punya diri. Mencari berita berkaitan dirinya menerusi Google hampir tiada.

Hanya khalayak yang pernah menonton hasil 'permainannya' dalam bidang teater sahaja barangkali tahu betapa hebat lelaki berusia 28 tahun ini memukau hadirin untuk terkesima dengan kemampuannya. Sementelah, dia sendiri bukan jenis tersua- sua kepada media untuk mencari secebis publisiti.

Memang, dia sendiri mengakui bahawa tidak banyak orang yang mengenali dirinya. Tak, padahal dia bukan pucuk muda dalam bidang lakonan. Juga, bukan terlalu lama dalam lapangan ini.

Malah, portfolio kerjanya juga belum masuk dalam kategori puluhan. Namun, dalam hitungan jari naskhah yang dimainkannya, ia bukan naskhah biasa-biasa.

Sebaliknya, Amerul sempat bermain dalam beberapa filem seperti Tolong Awek Aku Pontianak, Bikers Kental dan Bunohan.

Lawan mainnya dalam sesebuah naskhah juga selalu bersama aktor Bront Palarae atau Zahiril Adzim yang merupakan teman-teman baiknya.

Terbaharu, Psiko, Pencuri Hati menjadi naskhah terkini yang menggunakan khidmatnya sebagai pelakon.

Bagaimanapun, mengapa selalu khalayak terlepas pandang tentang dirinya?

Saat soalan itu diajukan kepada anak kelahiran Temerloh, Pahang ini, dia hanya tersenyum. Ringkas dia menjawab: "Tidak pasti," dan menyambung senyum semula.

Jujurnya, luah Amerul juga dia tidak melakukan kerja lakonan untuk menjadi popular dan dijulang tinggi.

Ujarnya: "Saya sedar, dikenali orang itu perlu tapi itu bukan matlamat saya. Saya berlakon kerana saya sukakan proses kerja itu sendiri."

AMERUL tidak mementingkan kuantiti produk lakonannya tetapi lebih kepada menilai impak penglibatannya dalam sesebuah naskhah.


Jelas Amerul, kerja lakonan dijalaninya kerana ia bagai meresap sebati di dalam diri secara semula jadi dan tiba-tiba. Dia mengakui bahawa tidak pernah terfikir dirinya mempunyai bakat dalam bidang seni.

"Di sekolah, saya selalu kena buli dan bersendirian. Saya tak ada kawan, sehingga sewaktu berada di tingkatan enam, saya tiba-tiba terjebak dalam pementasan teater di sekolah sehingga masuk ke peringkat negeri.

"Saya bawa watak lelaki India untuk teater berdasarkan karya sastera, Jalan Sempit dan saya menang sebagai pelakon pembantu lelaki terbaik. Sejak itu, saya kira saya mungkin ada bakat dalam bidang ini," cerita Amerul sambil ketawa mengingati semula kronologi bagaimana dia pertama kali terjebak dalam dunia seni.

Terdorong daripada langkah tersebut, dia kemudian memilih jalan yang lebih serius dengan mendaftar diri di Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara), Kuala Lumpur.

Katanya, tidak sangka dia diterima menjadi pelajar di akademi tersebut dan menuntut dengan individu-individu hebat seperti Ahmad Yatim, Namron, Zakaria Afirin dan Marlia Musa.

Hari ini, selepas meninggalkan akademi tersebut pada 2008, Amerul melebarkan kariernya perlahan-lahan. Dari dunia teater yang kecil, dia ikut masuk menyertai 'padang' yang lebih besar melalui skrin televisyen dan filem.

Alter ego

Naskhah terkininya, Psiko, Pencuri Hati sekali lagi menjadi kayu ukur kepada kredibilitinya. Menerusi pemerhatian media yang telah menonton filem tersebut pada tayangan perdana yang diadakan minggu lalu, lakonan Amerul sebagai Man dan O Sidi, begitu menonjol.

Bermula hari ini, kemampuannya akan dilihat oleh seluruh rakyat Malaysia yang bakal keluar menyaksikan filem tersebut di pawagam.

Hanya mengangguk tanda faham dan terima kasih terhadap pujian yang diberikan kepadanya, Amerul menjelaskan, Man yang dilabelkan sebagai karakter hitam merupakan watak paling 'senang' untuk dilakon- kannya.

"Man ialah alter ego (peribadi kedua) O Sidi. Man boleh dijelaskan sebagai nafsu apabila O Sidi tidak mampu membuat keputusan sendiri. Mengajak orang membuat jahat, sangat mudah. Sangat!" katanya yang tidak suka menonton lakonan pelakon lain terlebih dahulu untuk belajar kerana melihat ia lebih kepada satu peniruan.

Dia membetulkan sedikit kedudukannya, mengetuk punggung rokok supaya mampat sebelum menyambung bicara.

Ujarnya: "Bagaimanapun, sejujurnya saya rasa belum cukup puas dengan watak tersebut. Saya merasakan kelompongan pada asas 'persahabatan' Man dan O Sidi."

Diajak bercerita tentang pembikinan naskhah milik Namron itu, Amerul pantas memberitahu sutradara tersebut sebagai seorang psiko.

Katanya, sepanjang 18 hari penggambaran, setiap pelakon diberi kebebasan untuk membentuk karakter tersendiri.

"Kami tak punya skrip. Sehari sebelum penggambaran, dia (Namron) cakap esok kita shooting dan kami mula berimaginasi membentuk karakter sendiri berasaskan jalan cerita yang diberikan," ujarnya tentang proses mengenal watak yang dilakukannya bersama rakan pelakon lain seperti Sharifah Amani, Syed Hussein dan Bront Palarae.

Sekolah seni

Diasak terus tentang kehidupannya dan populariti, Amerul memberitahu. kelangsungan hidupnya bukan sekadar dalam bidang lakonan, sebaliknya dia mempunyai rumah penerbitan Seni Suri Jawi yang muncul dengan karya pertama tulisan Wanji Aswandi, Mahar Ke Syurga.

Amerul juga menjelaskan, bukan dia menentang untuk menjadi orang popular.

Sebaliknya, sejak dulu dia selesa dengan kehidupan yang dijalaninya. Punya makan dan pakai yang cukup dan kehidupan yang sederhana sudah memadai buatnya.


MENGAKU dia mempunyai lebih banyak peminat dalam kalangan kanak-kanak berbanding orang dewasa impak lakonannya dalam drama Cuak di Astro Ceria.


"Saya tidak menentang popular. Saya tahu benda itu (popular) penting untuk artis tapi setakat hari ini saya selesa dengan kehidupan saya. Saya juga tidak rasa terbeban tidak cukup duit atau sebagainya. Semuanya serba sederhana dan cukup makan pakai.

"Saya pun tak pernah terfikir macam mana kalau saya jadi orang popular sebab seperti yang saya jelaskan, saya masuk dalam dunia ini kerana saya sukakan proses mencari karakter dalam diri saya sendiri untuk dimuntahkan pada saat saya berlakon," jelasnya perlahan-lahan.

Disogok dengan kesederhanaannya bagai tidak realistik dengan kehidupan sebagai anak seni yang barangkali akan terus berada dalam industri untuk tempoh 30 tahun akan datang, Amerul tersenyum. Ternyata, dia punya jawapan tersendiri tentang perkara yang dijolok kepadanya.

Anak keempat daripada enam beradik ini memberitahu, selain mempunyai bakat seni, dia sebenarnya mahu menjadi pendidik dengan kelulusan yang diperoleh.

Menimba ilmu di Aswara dan kini melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Seni Persembahan di Universiti Malaya (UM), Amerul menyasarkan tempoh 15 tahun akan datang dia mungkin kembali ke kampungnya di Temerloh dan membina sebuah pondok seni untuk remaja di kampungnya.

"Saya punya impian untuk buka sekolah seni atau mungkin sebuah pondok pendidikan untuk budak-budak kampung belajar tentang seni. Sebab itu saya tidak risau sangat tentang masa depan saya dalam bidang ini.

"Saya kira, cukup kalau saya masih mampu bermain teater dan terbabit dalam naskhah yang berkualiti, berbanding saya terlalu banyak berlakon tetapi ia tidak memberi sebarang impak," jelasnya yang teruja untuk kembali bermain teater dengan Zahiril dalam masa terdekat ini.