Gambaran hukuman sudah ada


MOHAMMAD NOOR (kanan) mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Siasatan Bebas di Menara Seri Wilayah, Putrajaya semalam.


JAWATANKUASA Siasatan Bebas masih memerlukan sedikit masa bagi memperhalusi bentuk hukuman ke atas skuad bola baling Wilayah Persekutuan (WP) yang dipalit masalah disiplin pada Sukan Malaysia (Sukma) 2013 di Kuala Lumpur Julai lalu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Bebas, Tan Sri Mohammad Noor Abdul Rahim, pihaknya masih perlu menyiasat beberapa perkara sebelum membuat sebarang keputusan.

“Bayangan hukuman sudah ada tetapi kami perlu lebih jelas dengan bentuk dan tempoh hukuman yang akan dijatuhkan berdasarkan kesalahan yang dilakukan.

“Sebagai contoh, meskipun pemain berada di tempat kejadian, tetapi tidak semua di antara mereka yang minum, memasuki bilik berlainan jantina atau keluar membeli minuman keras.

“Jadi, perkara-perkara sedemikian perlu diteliti sebelum kami menentukan bentuk hukuman yang akan dihadapi mereka,” jelas Mohammad Noor selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Siasatan Bebas yang berlangsung hampir empat jam di Menara Seri Wilayah, Putrajaya semalam.

Jawatankuasa itu turut dianggotai oleh empat wakil bebas iaitu Ahmad Zahiri Abdul Kadir, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan Kementerian WP), Pandak Ahmad (Presiden Persekutuan Bola Baling Malaysia), Fouzee Abdul Aziz (Pengarah Majlis Sukan Negeri Sembilan) dan Rohayah Karim (Jabatan Undang-Undang dan Pendakwaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur).

Mohammad Noor turut menjelaskan jawatankuasa tersebut perlu menghantar dahulu laporan siasatan kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta Majlis Sukan Negara (MSN).

“Selepas kedua-dua pihak tersebut berpuas hati dengan siasatan ini dan kami mendapat ‘lampu hijau’ untuk menjatuhkan hukuman, maka kami akan melakukan dengan kadar segera,” jelasnya.

Terdahulu, seramai tujuh orang yang terdiri daripada atlet, jurulatih dan pengurus pasukan bola baling WP hadir menghadiri sesi soal siasat semalam.

“Secara asasnya, kami amat berpuas hati dengan mesyuarat pertama hari ini (semalam). Semua pihak yang terlibat memberi kerjasama yang sangat baik sepanjang sesi soal siasat.

“Sesi soal siasat yang dilakukan secara individu memberi peluang kepada ahli panel mendengar insiden tersebut dengan lebih teliti dan adil.

“Banyak persoalan yang sebelum ini masih kabur, berjaya dijelaskan dengan baik selepas sesi soal siasat secara individu tersebut dilakukan.

“Apa yang kami dapati, memang terdapat beberapa kes pelanggaran disiplin yang berlaku ketika berlangsung temasya Sukma 2013, Julai lalu.

“Tidak dinafikan, kunci utama isu ini adalah melibatkan minuman keras dan pelanggaran waktu di mana ia bukan sahaja melibatkan atlet tetapi pegawai bertanggungjawab ke atas pasukan WP,” kata Mohammad Noor yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).