Tren Merdeka KTMB KL Sentral-Ipoh


MOHD. NOORDIN (tengah) bersama penumpang mengibarkan Jalur Gemilang dalam Majlis Merdeka Raya KTMB di dalam gerabak kereta api baru-baru ini.


TREN MERDEKA. Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) meraikan Hari Kemerdekaan ke-56 bersama kakitangan dan tetamu di dalam tren Ekspres Senandung Langkawi yang dalam perjalanan ke utara.

Pengurus Kanan Pemasaran dan Khidmat Pelanggan KTMB, Mohd. Noordin Kimi berkata, program sambutan ambang merdeka itu merupakan acara tahunan yang diadakan sejak 2008 bagi mempelbagaikan aktiviti sempena kemerdekaan negara.

Katanya, program yang bermula dari Stesen Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) dan berakhir di Stesen Ipoh itu merupakan simbolik bagi mengenang semula perjalanan negara menuju ke arah kemerdekaan yang dikecapi kini.

Acara yang bermula pukul 9.30 malam pada 30 Ogos lalu itu melibatkan kira-kira 30 kakitangan KTMB dan pengamal media tempatan.

Menjelang ambang merdeka, peserta mengira beramai-ramai detik 12 tengah malam diikuti laungan merdeka sebanyak tiga kali sebelum mereka menyanyikan lagu Negaraku dan lagu-lagu patriotik seperti Tanggal 31, Jalur Gemilang dan 1Malaysia.