Segerakan projek tebatan banjir



RANTAU PANJANG – Pembinaan projek tebatan banjir yang mengandungi komponen pembinaan benteng sepanjang Sungai Golok di sini dilihat langkah yang berkesan dalam membendung kegiatan penyeludupan dan ancaman keselamatan negara.

Pengerusi Pertubuhan Penggerak Wawasan dan Kebajikan Parlimen Rantau Panjang (Padu), Mamat Jusoh (gambar) berkata, projek berkenaan merupakan serampang dua mata dalam usaha kerajaan untuk mengatasi masalah banjir di sekitar kawasan ini selain dapat membendung kegiatan yang menjadi ancaman kepada negara.

Menurutnya, cadangan pembinaan projek berkenaan sudah mula dicanang sejak tahun 1980-an lagi dan pelaksanaannya perlu disegerakan ekoran situasi di kawasan sempadan yang dilihat antara punca kewujudan kejadian jenayah terutama penyeludupan.

“Kita mengalu-alukan usaha kerajaan untuk menambah baik situasi keselamatan di sempadan dan menjamin kesejahteraan para penduduk. Namun, kita berharap kerajaan dan pihak berkenaan dapat menghalusi mekanisme dengan mendalam sebelum membuat keputusan.

“Pembinaan benteng atau tebatan adalah langkah yang lebih wajar dan signifikan berbanding cadangan untuk memindahkan penduduk yang tinggal berhampiran sepanjang Sungai Golok. Proses pemindahan memerlukan kajian mendalam dari segi sosioekonomi, budaya dan kehidupan masyarakat yang terlibat nanti,” katanya ketika ditemui semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.