Misteri pembunuh psiko


SHERA AIYOB tidak ketinggalan menjadi penyeri naskhah Psiko Pencuri Hati yang bercerita tentang pembunuhan bersiri yang penuh sadis.


MENDENGAR judulnya, Psiko Pencuri Hati pasti ada yang mengganggap ia sebuah filem komedi ringan. Bagaimanapun, selepas mengetahui ia adalah sebuah naskhah daripada pengarah penuh karakter, Nam Ron, tanggapan awal tadi mula bertukar mengatakan filem tersebut tidak klise.

Psiko Pencuri Hati bukan sekadar berbeza daripada filem-filem sedia ada, sebaliknya ia tertumpu pada aspek lain seperti sinematografi dan mutu lakonan barisan pelakonnya.

Filem itu secara simbolik meninggalkan mesej positif kepada penonton dalam melalui proses kehidupan yang penuh cabaran, khususnya yang terpaksa bergelut dengan konflik dalaman diri.

Seterusnya, filem itu juga mahu memberi variasi kepada industri perfileman tempatan yang kini semakin kurang dari segi kepelbagaian genre.

Lakonan berkesan

Psiko Pencuri Hati mengisahkan tentang O. Sidi (Bront Palarae) yang merupakan seorang penulis novel thriller popular yang terpaksa mengambil masa yang lama untuk menyiapkan novel terbaharunya diberi judul, Mangsa.

Secara kebetulan ketika menyiapkan karya terbaharunya itu, ibu kota Kuala Lumpur gempar dengan kehadiran pembunuh misteri yang merobek hati setiap mangsanya.

Timbul persoalan siapakah pembunuh misteri tersebut kerana Nam Ron bijak bermain dengan perasaan penonton.

Dari awal sehingga pertengahan cerita, setiap watak ‘ada peluang’ menjadi pembunuh tersebut sama ada O. Sidi (Bront), Dr. Khai (Syed Hussein), Pak Abu (Suhaimi Yusof) atau Wani (Sharifah Amani).

Menarik dari sisi daya lakonan barisan pelakon, ternyata Bront dan Amani tidak perlu lagi dipertikaikan kreadibiliti lakonan mereka.

Cuma apa yang menarik perhatian adalah lakonan berkesan Syed Hussein dan pengiat teater, Amirul Affendi.

Pemilihan Syed Hussein sebagai tunjang utama sangat bertepatan. Dia berjaya membuang watak romeo dan lelaki baik yang biasa dilakonkannya sebelum ini.


SIAPAKAH pembunuh? Bront dan Syed Hussein saling menyuntik daya dan aura lakonan penuh impak dalam memantapkan perjalanan cerita filem, Psiko Pencuri Hati.


Malah, daya lakonan yang ditonjolkannya tidak diduga. Adakah dia pembunuh psiko itu? Kalau hanya merujuk kepada wajah kacaknya, jawapannya adalah tidak!

Amirul yang tidak terkenal dalam dunia lakonan komersial pula begitu bersahaja dan begitu sukses dalam mencuit hati penonton.

Turut menambah perisa terhadap daya lakonan filem ini sudah tentu kemunculan Shera Aiyob yang dianggap sebagai penyeri filem itu.

Capai standard

Nam Ron ternyata sangat menitikberatkan mutu penghasilan karya terbaharunya yang telah menjalani penggambaran di Kuala Lumpur serta Pulau Pemanggil, Johor itu.

Jika ada yang beranggapan karya Namron yang juga merupakan seorang penggiat teater tempatan itu berat dan sukar difahami, telahan tersebut salah kerana Namron berjaya menyuntik elemen komersial dalam filem ini.

Begitu juga dari aspek teknikal. Walaupun produksi dihasilkan menggunakan bajet yang terhad, apa yang terpapar di layar perak ternyata mencecah standard yang tinggi.

Filem pertama arahan Nam Ron di bawah penerbitan Filmmecca Studio dengan kerjasama The Attic Post dan Emas Karya itu sudah ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia sejak 5 September lalu.