Sahabat kisah tujuh remaja


ROSYAM (tiga dari kiri) bersama barisan karyawan drama Sahabat.


BUAT pertama kalinya, syarikat produksi Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. milik aktor Rosyam Nor menerbitkan sebuah drama remaja ringan berjudul Sahabat.

Sebelum ini, produksinya lebih cenderung menerbitkan drama berat. Rosyam yang ditemui pada sesi sidang media baru-baru ini mengatakan, ini adalah langkah pertamanya untuk memikat golongan remaja belasan tahun.

“Sebelum ini Suhan Movies pernah menerbitkan drama remaja Jangan Ambil Padang Kami. Drama itu mendapat sambutan hangat walaupun isinya agak berat.

“Jadi, timbul idea untuk terbitkan sebuah drama remaja yang lebih ringan dan berkisar tentang persahabatan sahaja. Bukan itu sahaja, menerusi drama Sahabat, buat pertama kalinya produksi menampilkan laman komuniti interaktif untuk lebih dekat dengan penonton,” katanya.

Bercakap tentang pemilihan pelakon drama Sahabat yang dibarisi Liyana Jasmay, Izzue Islam, Syukri Yahaya, Iezah Diyana, Sara Ali, Aedy Ashraf dan Syarif daripada kumpulan Sleeq, kata Rosyam, mereka dipilih berdasarkan kesesuaian watak.

“Semua pelakon yang dipilih mempunyai kekuatan tersendiri yang kita tahu cukup popular dalam kalangan remaja terutama golongan lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) yang merupakan penonton sasaran drama ini.

“Mereka juga memang pelakon yang bagus dan mampu menarik minat penonton untuk mengikuti drama ini,” balasnya.

Disoal mengapakah beliau mengambil Syarif daripada kumpulan Sleeq yang tidak pernah berlakon dalam mana-mana drama di Malaysia, Rosyam mempunyai jawapannya.

“Dia seorang pelakon di Singapura dan selepas menjalani uji bakat, kami dapati dia memang boleh berlakon. Lagipun, kami memerlukan Syarif untuk menarik peminat di Singapura menonton drama ini,” ujarnya.

Liyana Jasmay dan Izzue Islam yang sering bergandingan dalam beberapa buah telefilem sebelum ini seperti Tudung Tweet dan Cik Paris Diva Kampung tidak mempunyai sebarang masalah apabila digandingkan sekali lagi dalam drama Sahabat.

“Bila saya ditawarkan drama ini, mulanya agak risau kerana mempunyai 36 episod. Saya terpaksa berulang-alik antara Sabah dan Kuala Lumpur tetapi melihat barisan pelakonnya seperti Izzue Islam, saya terus bersetuju kerana kami pernah bergandingan dan cukup serasi.

“Pihak produksi juga cukup memahami, membenarkan saya cuti selama beberapa hari dalam seminggu kerana jadual penggambaran yang agak panjang.

“Jika produksi boleh mengikuti jadual saya, memang saya tidak ada masalah untuk menerima mana-mana tawaran,” terang Liyana.

Izzue yang berusia 23 tahun dan telah berkahwin menjelaskan, dia tidak ada sebarang masalah untuk membawa watak Toi, pelajar lepasan SPM dari Kelantan yang memburu impian sebagai pemuzik di kota Kuala Lumpur.

“Permulaan cerita untuk watak Toi sama dengan kisah realiti hidup saya ketika saya mula-mula datang ke Kuala Lumpur. Memang saya tidak ada masalah untuk melontarkan dialog dalam dialek Kelantan kerana saya memang anak jati Kelantan.

“Watak pelajar lepasan SPM bukan satu masalah besar walaupun ada cabarannya kerana saya masih muda (ketawa). Saya tidak kisah sering diberi watak remaja, asalkan saya mampu bawa watak itu dengan baik, saya akan terima tawaran tersebut,” ujarnya.

Drama Sahabat yang akan menemui penonton setiap Isnin hingga Khamis pada pukul 5.30 petang bermula 16 September ini di Astro Ria mengisahkan perjalanan hidup tujuh remaja lepasan SPM berlainan latar belakang yang memburu impian hidup masing-masing.

Peminat yang ingin menyertai laman komuniti interaktif Sahabat yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik boleh melayari laman web www.mysahabat.com.