Polis bertempur dengan guru di ibu kota Mexico


PENUNJUK perasaan yang terdiri daripada guru dan orang ramai berundur dari Dataran Zocalo di Bandar Raya Mexico kelmarin. - REUTERS


MEXICO CITY - Beratus-ratus anggota polis pencegah rusuhan menguasai semula sebuah pusat bersejarah di ibu kota Mexico di sini selepas mereka menggunakan meriam air dan gas pemedih mata untuk mengusir sekumpulan guru yang menunjuk perasaan di lokasi berkenaan.

Kumpulan tersebut bertindak balas dengan membaling bom-bom api ke arah pasukan keselamatan.

Sekurang-kurangnya 40 orang cedera dalam pertempuran kelmarin di Dataran Zocalo selepas ratusan penunjuk perasaan melanggar tarikh akhir untuk meninggalkan kawasan tersebut bagi membolehkan sambutan Hari Kemerdekaan Mexico diadakan hujung minggu ini.

Protes yang melibatkan beribu-ribu guru di dataran ini berlangsung sejak beberapa minggu lalu kerana membantah pembaharuan dalam sistem pendidikan Mexico.

Kumpulan pendidik berkenaan yang sebahagian besarnya bertopeng dan bersenjatakan kayu bertindak membakar sampah dan meletakkan penghadang besi bagi menghalang laluan masuk ke Dataran Zocalo.

Dataran berkenaan menempatkan Istana Negara, sebuah gereja utama dan beberapa tinggalan bersejarah tamadun Aztec.

Polis mengosongkan dataran itu dalam tempoh setengah jam. Sejam kemudian, sejumlah pekerja tiba untuk merobohkan khemah-khemah penunjuk perasaan dan membersihkan lokasi tersebut

Beberapa minit sebelum polis menyerbu Dataran Zocalo, kerajaan pimpinan Presiden Enrique Pena Nieto mengundang rakyat Mexico untuk menghadiri sambutan Hari Kemerdekaan negara itu di lokasi berkenaan hari ini dan esok.

Dalam perkembangan berkaitan, Palang Merah Mexico menyatakan, sekurang-kurangnya 29 penunjuk perasaan dan 11 anggota polis cedera dalam konfrontasi itu.

Ketua Polis Persekutuan, Manuel Mondragon Kalb berkata, seramai 31 orang ditahan dalam protes tersebut.

"Mereka ditahan kerana memiliki pelbagai senjata termasuk tangki gas yang digunakan sebagai senapang api," katanya.

Pena Nieto menandatangani rang undang-undang pembaharuan pada minggu ini yang memerlukan guru menjalani penilaian prestasi mandatori.

Guru-guru di Mexico menentang peraturan baharu itu yang dianggap melanggar hak bekerja mereka. -AFP