Fouziah penuhi permintaan keluarga

ZHAFRAN bersetuju memilih tema perkahwinan bercirikan budaya Pakistan.


MENJELANG hari bahagia yang bakal tiba tidak lama lagi, dramatis jelita, Fouziah Gous mengikut tradisi yang pernah dirintis selebriti popular sebelum ini. Tidak sah jika majlis yang bakal membawanya ke fasa kehidupan serba baharu itu tidak dikongsi bersama khalayak. Apatah lagi, majlis pertunangannya yang berlangsung tiga bulan lalu sudah pun diberi liputan besar-besaran.

Fouziah, 31, dan tunangannya, Zhafran Yusof, 30, memilih Sabtu ini untuk disatukan sebagai suami isteri.

"Kami memang merancang hendak berkahwin pada tahun ini, selewat-lewatnya pada hujung tahun. Namun, selama ini belum ada tarikh yang pasti memandangkan adik Zhafran yang menuntut di luar negara ada kesulitan untuk pulang begitu juga abang saya yang ada urusan di luar negara. Setelah berbincang, tarikh 21 September menjadi tarikh rasmi. Pada tarikh itu kami dapat mengumpulkan adik-beradik untuk majlis ini," ujar Fouziah pada satu sidang media khas berhubung pernikahannya yang berlangsung di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

Sebelum ini, majlis pertunangannya persis seperti majlis persandingan mewah. Fouziah mengumumkan bahawa majlis pernikahannya itu nanti akan disempurnakan dalam tiga acara yang mengandungi tema yang berbeza.

Acara itu ialah majlis pernikahan yang dijadualkan berlangsung di Dewan Tengku Ampuan Jemaah, Masjid Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor pada 21 September depan manakala akad nikah pada sebelah malam itu diserikan dengan tema Pakistan.


FOUZIAH dan Zhafran bertunang pada 1 Jun lalu.


Majlis resepsi sebelah perempuan pula akan diadakan pada malam Ahad, 29 September bertempat di Hotel Marriot, Putrajaya dengan tema musim bunga manakala resepsi bagi pihak lelaki akan diadakan di kediaman Zhafran di Bukit Jelutong pada 5 Oktober yang memilih tema tradisional.

"Sengaja tema Pakistan itu dipilih memandangkan saya sendiri mewarisi darah Pakistan daripada kedua-dua ibu bapa saya. Saudara-mara saya juga ramai yang masih mengamalkan budaya Pakistan dalam kehidupan bahkan mereka menjadikan bahasa Urdu sebagai pertuturan harian.

"Soal berkahwin secara besar-besaran pula, saya bukannya sengaja mahu berlebih-lebih untuk majlis perkahwinan. Tapi, inilah rezeki yang harus saya terima. Sebagai anak bongsu dan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga, ibu saya memang mahu melakukan yang terbaik untuk anak perempuan.

"Sebelum ini pun, macam-macam respons orang berhubung majlis pertunangan saya yang dianggap cukup meriah. Itu juga kehendak keluarga. Kalau boleh, mereka mahukan majlis yang lebih meriah," ujar Fouziah sambil menafikan perkahwinannya itu ditaja pihak lain.

Tambah Fouziah: "Memang ada pihak yang menawarkan tajaan, tapi saya dan Zhafran harus buat membuat pilihan. Kami juga mahu merasa sebuah majlis hasil duit sendiri."

Fouziah dan Zhafran bertunang pada 1 Jun lalu dalam satu majlis pertunangan yang diadakan di Bora Asmara, Kuala Lumpur. Mereka mula berkenalan pada Mac lalu.