KL Zombi tidak seram


JIKA mengharapkan sebuah hiburan komedi, anda wajar menonton KL Zombi.


RAMAI yang mengeluh sejurus menonton filem KL Zombi di panggung wayang. Walaupun kisah tentang zombi menjadi subjek yang dinanti-nantikan para peminat filem tempatan, namun idea itu tidak dilaksanakan dengan sempurna apabila ia disajikan dengan aksi komedi semata-mata.

Biarpun diangkat daripada sebuah novel berjudul Zombiejaya, hanya 50 peratus daripada isi novel itu diperturunkan dalam KL Zombi.

Filem KL Zombi mengisahkan penularan sejenis virus yang membuatkan manusia bertukar menjadi zombi di sekitar Lembah Klang.

Ia mula dijangkiti oleh Aliff dan Ana yang merupakan seorang guru di sebuah sekolah rendah. Wabak itu mula merebak di sebuah sekolah apabila ramai murid bertukar menjadi zombi.

Beberapa orang terselamat daripada dijangkiti wabak itu termasuklah Nipis, dua orang budak sekolah, Afiq, Lisa serta Nora. Mereka telah berusaha melepaskan diri daripada digigit makhluk itu bagi mengelak menjadi zombi. Disebabkan kekuatan dan kebijaksanaan, mereka menjadi hero apabila menyelamatkan ibu kota daripada terus diserang virus itu.


FILEM ini harus mendapat pujian kerana kualiti solekan para pelakonnya. Namun, kualiti solekan itu tidak digunakan sepenuhnya untuk digarap bersama elemen yang lebih suspens.


Filem KL Zombi dibintangi oleh Zizan Razak sebagai Nipis, Siti Saleha (Nora), Zain Hamid (Aliff), Izara Aishah (Ana), Iedil Putra (Kamarul), Faezah Elai (Sofea) dan Azhan Rani (Azman). Turut terlibat adalah pelakon kanak-kanak Afiq Izuddin (Afiq) dan Nur Shafiqah (Lisa).

Kak Ogy (Fauziah Datuk Ahmad Daud) dan Khir Rahman turut berlakon dalam filem itu.

Pujian harus diberikan kepada pereka solekan kesan khas apabila wajah zombi disolek dengan sempurna. Solekan berkualiti itu bukan hanya terdapat pada wajah pelakon utama. Pelakon-pelakon tambahan turut diberikan solekan yang berkualiti itu.

Malangnya, solekan hebat itu tidak digunakan sebaik mungkin apabila hampir tiada langsung plot seram dan suspens yang dipersembahkan.

Biarpun terdapat adegan yang dikejar zombi melatari sepanjang tayangan filem itu, namun kisahnya tetap mendatar. Banyak adegan komedi yang ditampilkan pengarah ketika mangsa-mangsa dikejar makhluk itu.




Mungkin pengarahnya ada alasan sendiri mengapa aksi seram diminimumkan, namun agak merugikan apabila solekan khas yang berkualiti itu tidak dimanipulasi sepenuhnya.

Watak dan aksi lawak yang dipersembahkan Zizan dalam filem tersebut tidak banyak beza berbanding dalam filem-filem lain lakonannya sebelum ini.

Namun, Faezah menjadi penyelamat dengan lakonan bersahajanya. Dia yang menyamar sebagai zombi ketika berada dalam kelompok makhluk itu berjaya mencuit hati penonton.

Boleh dikatakan bahawa pengaruh Zizan menjadi penyelamat KL Zombi. Jika tidak diletakkan pelakon itu sebagai teraju utama, saya percaya bahawa naskhah arahan Woo Ming Jin tersebut sukar untuk mengutip pulangan RM2.83 juta selepas beberapa hari ditayangkan.

Filem ini berbaloi ditonton jika anda sekadar mahu bergelak ketawa.

Komen Syalmizi: Pasti lebih menarik kalau Kak Ogy juga bertukar menjadi zombi.