HUSM cari keluarga jenazah tidak dituntut

15/09/2013 9:23pm

KOTA BHARU - Jabatan Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian meminta keluarga seorang lelaki menuntut jenazahnya yang meninggal dunia Rabu lalu untuk urusan pengebumian.

Petugas jabatan berkenaan, Azizi Shafie berkata, lelaki berkenaan dikenali sebagai Mohamad Yusof Mael berusia dalam lingkungan 30-an.

Menurutnya, Mohamad Yusof meninggal dunia pada pukul 1.45 tengah hari Rabu lalu di hospital tersebut setelah dipercayai menghidapi penyakit paru-paru berair.

Azizi memberitahu, ketiadaan sebarang dokumen pengenalan diri menyebabkan pihak hospital sukar menghubungi keluarga atau kenalan jenazah terbabit.

Bagaimanapun katanya, maklumat ringkas mengenai nama jenazah tersebut didapati hasil perbualan dengan imam masjid berkenaan.

Orang ramai atau keluarga jenazah boleh menghubungi Jabatan Forensik HUSM melalui talian 09-7673311 atau menjalankan pengecaman mayat di hospital tersebut. - KOSMO!