Konsulat Indonesia puas hati layanan warganya di Pusat Tahanan Sementara Sandakan

18/09/2013 9:17pm

SANDAKAN - Konsulat Jeneral Republik Indonesia Kota Kinabalu berpuas hati dengan layanan diberikan terhadap 79 rakyat negara itu yang ditahan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Sandakan di sini.

Konsul Jeneral Indonesia di Kota Kinabalu, Soepeno Sahid berkata, semua warga negara itu yang ditahan di pusat tahanan berkenaan berada dalam keadaan baik dan menerima layanan sewajarnya oleh pihak PTS yang dikendalikan oleh Pasukan Petugas Khas Persekutuan.

Katanya, pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung layanan buruk membabitkan anggota petugas di PTS Sandakan mahupun PTS di Kimanis Papar.

“Saya berpuas hati dengan layanan oleh pihak kerajaan Malaysia terhadap tahanan warganegara Indonesia di semua PTS di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan dan menghadiri majlis dialog bersama tahanan warga Indonesia di PTS Sandakan di Jalan Sibuga di sini hari ini.

Beliau menasihatkan semua tahanan Indonesia supaya mematuhi undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan sepanjang berada dalam tahanan sebelum dihantar pulang ke negara mereka. - Bernama