Menikmati kopi gaya Itali




TERLETAK sejauh 22 kilometer dari pusat bandar Kuala Lumpur, Baci Italian Cafe (Baci) memberi pilihan terbaharu kepada peminat tegar kopi.

Melangkah kaki ke dalam premis tersebut, suasana santai begitu terasa terutama pada penggunaan perabot dan susun letaknya.

Menggunakan tema minimalis, warna yang digunakan berona gelap seperti hitam dan kelabu, manakala barang-barang perhiasan pula mempunyai reka bentuk ringkas.

Mirip kafe-kafe di Itali, Baci memberikan peluang kepada orang ramai untuk menikmati kopi seperti berada di negara itu.

Ruang membuat kopi terletak di tengah-tengah restoran termasuk tempat penyediaan makanan seperti kek dan pastri. Reka bentuk kaunter dapur dan kopi ringkas dengan permukaan binaan kaunter cukup sekadar simen tanpa sebarang marmar atau mozek. Terpampang papan menu seakan-akan papan hitam yang menyatakan menu utama harian.

Ruang makan terbahagi kepada dua iaitu dalam dan luar, bergantung kepada keinginan pengunjung sama ada mahu menikmati sajian dalam kedinginan pendingin hawa atau udara semula jadi.


SENI latte terbahagi kepada tuangan bebas dan goresan.


Baci menyediakan semua jenis kopi termasuk pelbagai pilihan latte , mocha, macchiato dan cappuccino, menjadikannya antara lokasi kegemaran penggemar kopi.

Hirupan kopi terasa tidak lengkap tanpa pastri atau sepotong kek dengan tiga pilihan berbeza iaitu kek red velvet, kek keju dan kek lapis pisang untuk dinikmati.

Promosi

Sempena Hari Kopi Antarabangsa yang disambut pada 29 September setiap tahun, Baci mengadakan promosi secawan kopi dan satu pilihan kek atau pastri pada harga RM19.90 selama sebulan.

Pada tarikh tersebut, para pengunjung yang datang antara pukul 10 pagi hingga 2 petang dan makan di restoran boleh menikmati kopi sepuas-puasnya pada harga secawan kopi.


KAUNTER pembayaran dan dapur di Baci direka begitu ringkas dengan permukaan simen terdedah menaikkan mood kedai kopi jalanan di Eropah.


Pada majlis taklimat khas yang diadakan baru-baru ini, pelatih barista, Baci, Boyd Yap, 35, turut melakukan demonstrasi membuat kopi yang mempunyai seni tersendiri.

“Buih dan cecair susu yang dibiarkan boleh menjadi dua lapisan, ia perlu kerap dikacau. Begitu juga kopi pekat espresso yang perlu dikacau,” ujarnya yang ditemui di Ara Damansara, Selangor.

Corak-corak yang ada pada setiap hidangan kopi bukan saja menggembirakan diri si peminum, tetapi menurut Yap, ia sekadar faktor pelaris kerana pembuatan kopi sebenar bergantung pada suhu yang tepat dan cara kawalan menuang buih susu ke dalam espresso.

“Secawan kopi yang dibuat pada suhu yang tepat dengan corak yang terhasil di permukaannya tanpa dikacau boleh kekal walaupun kopi dihirup,” ungkapnya.

Jika anda tiada sebarang aktiviti pada hujung minggu ini, berkunjunglah ke Baci dan nikmati secangkir kopi dengan penuh elegan.