ASEAN dijangka atasi Amerika Syarikat sebagai rakan dagang kedua terbesar China

23/09/2013 8:47pm

BEIJING - ASEAN dijangka mengatasi Amerika Syarikat sebagai rakan dagang kedua terbesar China dalam masa tiga hingga lima tahun, kata Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Perdagangan, Liang Wentao.

Beliau berkata pada masa ini, volum dagangan antara China dan Amerika Syarikat hanya antara AS$40 bilion dan AS$50 bilion lebih tinggi daripada volum dagangan dengan ASEAN.

Melihat kepada kadar peningkatan semasa itu, Liang kekal optimis bahawa ASEAN akan tidak lama lagi mengatasi Amerika Syarikat untuk menjadi rakan dagang kedua terbesar China.

Bercakap pada sidang media sempena lawatan oleh wartawan ASEAN, beliau berkata, pada lapan bulan pertama tahun ini, dagangan dua hala antara China dan Asean mencecah US$284.31 bilion, naik 12.5 peratus tahun ke tahun, mewakili 10.5 peratus daripada jumlah dagangan asing pada tempoh yang sama.

"Pada 2012, dagangan dua hala antara China dan ASEAN berjumlah AS$400 bilion dengan kadar purata pertumbuhan tahunan sebanyak 22 peratus, 7.3 kali ganda lebih tinggi daripada sepuluh tahun lalu.

"Bagaimanapun, volum dagangan antara China dan Amerika Syarikat naik 6.6 peratus tahun ke tahun, daripada Januari hingga Ogos tahun ini, katanya.

Pada masa ini, ASEAN adalah rakan dagang ketiga terbesar China, selepas Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat. - Bernama