Nadiya jadi mangsa Kilafairy, Intan



SESI fotografi khas yang diaturkan bersama Kosmo! pada minggu lalu agak istimewa kerana menggandingkan tiga pelakon wanita yang begitu dikenali ramai iaitu Nadiya Nisaa, Kilafairy dan Intan Ladyana.

Semasa fotografi berlangsung, terpancar kemesraan ketiga-tiga pelakon itu, meskipun baru kali pertama berlakon bersama-sama dengan memegang watak utama dalam telemovie Pengancam Perkahwinan.

Telemovie terbitan Mediaglo Production Sdn. Bhd. itu menceritakan tentang Melissa (Kilafairy) dan Arianna (Intan Ladyana) bersahabat baik ketika zaman persekolahan tetapi hubungan kedua-duanya mula dingin apabila masing-masing mempunyai sikap cemburu dan iri hati ketika mahu merebut jawatan sebagai ketua pelajar.

Permusuhan yang berlaku terus berlanjutan selama 15 tahun sehingga mereka mempunyai kerjaya sendiri. Melissa menjadi seorang perancang perkahwinan manakala Arianna pula bergelar jurugambar.

Kemudian, rakan kolej Melissa iaitu Maya (Nadiya Nisaa) bakal mendirikan rumah tangga dan dia dipilih untuk menjadi perancang perkahwinan Maya tetapi secara kebetulan Arianna pula menjadi jurugambar rasmi untuk majlis perkahwinan Maya.

Pertemuan semula antara Melissa dan Arianna yang bermusuh sejak sekian lama telah menjejaskan segala persiapan perkahwinan Maya. Akibat tertekan dengan kerenah kedua-duanya itu, Maya yang menjadi mangsa mengambil keputusan untuk membatalkan majlis perkahwinannya.

Kisah selanjutnya dapat diikuti oleh penonton menerusi telemovie arahan Syahir Ismail dan Tam Suhaimi itu yang akan disiarkan menerusi saluran Astro Ria 104 dan Astro Maya HD 135 pada pukul 9.30 malam ini.

Kongsi pengalaman

Pertama kali digandingkan dalam sebuah telefilem, ternyata banyak cerita yang ingin dikongsi oleh ketiga-tiga pelakon utamanya iaitu Nadiya Nisaa, Kilafairy dan Intan Ladyana.

Nadiya memberitahu, antara faktor utama dia menerima tawaran berlakon dalam telemovie Pengancam Perkahwinan kerana jalan cerita yang ringan dan menarik.

"Apabila saya mendapat skrip telemovie ini, pertama sekali yang saya lihat adalah jalan cerita dan karakter yang perlu dibawa. Ternyata peranan membawakan watak sebagai Maya berbeza dengan karakter yang pernah saya lakonkan sebelum ini.

"Sebenarnya ia bukankah sebuah telemovie komedi, sebaliknya situasi yang berlaku dalam kebanyakan babak yang dipaparkan mampu mencuit hati penonton," ujarnya.

NADIYA NISAA bersetuju terbabit dengan telemovie ini kerana jalan cerita yang ringan dan menarik.


Berkongsi cerita tentang pengalamannya bergandingan dengan Kilafairy dan Intan, pelakon yang mula dikenali menerusi filem Cun itu berkata, ia banyak memberi peluang kepada dirinya mengenali kedua-dua pelakon itu lebih dekat.

Jelas Nadiya, sepanjang berada di lokasi penggambaran, mereka banyak berkongsi pengalaman masing-masing berkenaan kerjaya dalam lapangan seni tempatan.

"Biasanya kalau kami bercerita, itu bukanlah sekadar berbual-bual kosong sahaja. Dengan cara sedemikian kami saling dapat mengenali diri masing-masing lebih rapat dan ia banyak membantu dari segi lakonan untuk telemovie ini," ujarnya.

Semakin akrab

Memegang watak sebagai seorang perancang perkahwinan bernama Melissa, pelakon Kilafairy mengakui dapat bergandingan dengan pelakon-pelakon hebat seperti Nadia Nisaa dan Intan Ladyana memang sudah lama dinantikan.

Jelas pemilik nama sebenar Syakila Nisha Jangir Khan itu, ketika Tam menyerahkan skrip dan membaca keseluruhan jalan ceritanya, dia mengakui amat teruja apabila diberitahu Nadiya dan Intan turut berlakon bersama-sama.

"Dalam telemovie ini, Melissa dan Arianna memang bermusuh kerana masing-masing merasakan diri sebagai seorang individu yang hebat sehingga Maya pula menjadi mangsa.

"Bagaimanapun, secara realitinya hubungan saya, Nadiya dan Intan semakin akrab apabila berlakon dalam telemovie ini. Pengalaman kali pertama dapat berlakon bersama mereka memang menarik," ujarnya.

Menjelaskan mengenai perkembangan kerjayanya pula, Kilafairy memberitahu, sekarang ini dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran telemovie Beranak Dalam Kubur dan kini sibuk memberi tumpuan butik pakaian Rack yang diusahakan bersama kakaknya.

INTAN LADYANA bukan sekadar berlakon, namun terbabit sebagai penerbit bersama Tam Suhaimi, Farish dan Sari Yanti untuk menerbitkan telemovie bercorak santai ini.


Projek sulung

Pelakon Intan Ladyana yang turut menyertai sesi fotografi berkenaan meluahkan rasa gembiranya kerana projek sulungnya bersama tiga orang rakannya itu akhirnya direalisasikan.

Ujar Intan, meskipun kini sudah bergelar seorang penerbit, namun tanggungjawab sebagai artis yang bernaung di bawah Metrowealth tetap diteruskan kerana kontraknya masih lagi belum berakhir.

"Ketika ini memang ramai yang melihat saya agak kurang berlakon Metrowealth tetapi saya masih lagi bersama mereka. Cuma, saya lebih banyak berlakon dengan produksi luar sekarang.

"Mengenai perkara ini, pihak Metrowealth memang menggalakkan saya berbuat demikian dan tidak terlalu terikat dengan mereka. Lagipun dengan cara ini akan membuka lebih banyak peluang kepada bakat-bakat lain yang bernaung di bawah Metrowealth," ujarnya yang memegang watak Arianna dalam telemovie tersebut.

Berkenaan dengan usaha terbaharunya itu sebagai penerbit, pelakon yang mula menjadi sebutan ramai ketika membintangi filem Adnan Sempit itu menyatakan ia merupakan lembaran baharu buat dirinya untuk melangkah lebih jauh dalam dunia hiburan tempatan.

"Saya sudah berkecimpung dalam dunia lakonan selama tujuh tahun dan berlakon dalam banyak drama, telemovie dan filem. Kini, saya perlu meluaskan lagi cabang seni dan peluang untuk menjadi salah seorang penerbit bersama rakan-rakan rapat sesuatu yang tidak harus dilepaskan," ungkapnya.