Pahang lebih bersemangat

PAHANG bertekad untuk mempamerkan persembahan terbaik pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2013 menentang Selangor PKNS di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini.

Skuad bimbingan Dollah Salleh itu mahu menjadikan perlawanan tersebut sebagai penebus maruah selepas dibelasah 0-4 oleh Kelantan pada aksi terakhir Kumpulan C di Kota Bharu minggu lalu.

Pemain tengah Pahang, Mohd. Saiful Nizam Miswan berkata, kekecewaan di Kota Bharu tidak wajar menjadi penghalang untuk beraksi lebih baik dan para pemain sudah bersedia menanti kunjungan PKNS.

Saiful atau lebih dikenali dengan panggilan Poyeng mengakui bahawa, dia dan rakan-rakan sepasukan akan memanfaatkan peluang yang terhidang sebagai bekalan untuk menghadapi aksi kedua di gelanggang lawan nanti.

“Selepas kalah di Kota Bharu, semangat para pemain menurun sedikit tetapi untuk malam esok (hari ini), kami akan manfaatkan setiap peluang yang diperoleh.

“Kami perlu membawa bekalan yang selesa sebelum bertandang ke tempat lawan pada 4 Oktober depan,” kata pemain berusia 32 tahun itu.

Dalam pada itu, Poyeng menambah, mereka perlu lebih berhati-hati untuk berdepan PKNS kerana corak serangan pasukan berstatus kelab itu sering bertukar dalam setiap perlawanan.

Sementara itu, penjaga gol utama Pahang, Mohd. Khairul Azhan Mohd. Khalid pula berkata, dia akan berusaha sedaya upaya menjaga gawang skuad Tok Gajah supaya tidak mudah dibolosi seperti mana di Kota Bharu lalu.

“Kekalahan di Kota Bharu sudah dilupakan. Sekarang, saya dan rakan-rakan sepasukan sudah belajar sesuatu dan bersiap sedia menutup semua peluang supaya tidak mudah dibolosi pemain-pemain PKNS.

“Bagi perlawanan esok (malam ini), Pahang tidak boleh cuai dan perlu menang dengan menjaringkan banyak gol,” kata Mohd. Khairul Azhan.

Penjaga gol berusia 24 tahun itu menyeru para penyokong setia skuad Tok Gajah membanjiri stadium untuk memberi semangat kepada para pemain bagi menghadapi aksi suku akhir itu.