Cetak dan rompak KL Gangster



UNDANG-UNDANG gengster mentakrifkan bahawa siapa kuat, dialah raja. Di layar perak ataupun dalam dunia realiti, adat gengster ghairah merebut kuasa ada di mana-mana. Undang-undang hiburan pula, siapa yang popular, itulah yang terbaik kerana ramai orang akan teruja. Ada ketikanya, ranum yang dipuja memungkinkan kerosakan pada kemudian hari, ada masanya, barang yang baik diketepikan mentah-mentah tanpa belas simpati.

Mungkin, nasib yang menimpa seniman filem KL Gangster 2 belum boleh ditaksir semata-mata atas dasar kezaliman siber yang telah mereka alami. Kecewa, cedera jiwa sehingga parahnya mematahkan seluruh rasa, sang pengarah KL Gangster 2 yang dirompak karyanya bertindak tidak menunjukkan muka. Bukan malu, tetapi sakit yang dirasai barangkali tidak tertanggung untuk tubuh Syamsul Yusof bertemu khalayak yang mencuri karyanya dalam senyum tanpa rasa bersalah.

"Apa yang hendak dirasai oleh Syamsul, itu hak dia. Dia berhak berasa kecewa tetapi sebagai pelakon yang bersama-sama dengannya, kami membayar kekecewaan itu dengan sokongan yang tidak berbelah bahagi. Inilah masanya untuk kami menunjukkan sokongan kepada Syamsul dan memperjuangkan maruah industri filem tempatan," tegak Rosyam mendepani prinsip mewakili seluruh karyawan yang terlibat dalam filem yang akan ditayangkan kepada umum pada 3 Oktober ini.

Jahat terpuji Rosyam

Tidak memerlukan analisis terperinci tetapi cukup hanya boleh dilihat dari pandangan mata kasar, sebagai pelakon, Rosyam tidak pernah gagal dalam apa jua karakter yang dipersembahkan. Kepada khalayak yang terlepas pandang, sebenarnya, sudah dua tahun Rosyam berehat seketika daripada bidang lakonan.

Tujuannya, dia mencari posisi baharu yang bakal memberikan laluan berterusan untuk kekal dalam industri. Filem Libas yang ditayangkan pada tahun 2011 merupakan filem terakhir yang mempertaruhkan dirinya di layar perak.

Kemunculan terkini yang meletakkan Rosyam selaku ketua gengster bernama Tailong dalam KL Gangster 2 mungkin anjakan paling agresif yang sedang berlaku ke atas dirinya. Sudah kerap berlakon watak jahat misalnya dalam Castello, Bara, Lenjan dan Anak Halal, Tailong juga barangkali klimaks sisi jahat Rosyam sehingga dipuji ramai.

"Pujian itu harus diberikan kepada Syamsul yang telah berjaya mencipta karakter Tailong supaya kerja saya nampak hebat. Saya sendiri mahukan kelainan setiap kali hendak muncul dalam filem. Syamsul kata, Tailong teras tercetusnya huru-hara sehingga plot dikembangkan dalam KL Gangster yang pertama. Gagalnya Tailong bermakna gagalnya KL Gangster 2. Tanpa Tailong, semua gengster dalam filem itu boleh hidup aman damai," ucap Rosyam memperincikan Tailong sebagai watak yang terbentuk daripada metod dan teknikal yang diberi imej komersial.

GANDINGAN pelakon senior seperti Corrie, Rosyam dan Soffi satu petunjuk bahawa industri perlukan pelakon matang dalam filem besar.


Kata Rosyam, Tailong dijelmakan sebagai manusia yang bersifat binatang. Tindak-tanduknya harus tiada perikemanusiaan. Keberanian Tailong pula mengatasi maut kerana hidupnya berada di bawah pengaruh dadah.

"Dari segi metod, kerakusan Tailong itu saya umpamakan seperti sifat rakus reptilia ganas macam biawak dan buaya. Matanya meliar dan lidah terjilat-jilat. Secara teknikal, sudut kamera juga penting, saya juga minta untuk naik ke bumbung kereta agar aksi kejar-mengejar antara Tailong dan Malik nampak hebat.

"Masuk ke elemen komersial, gaya kemas berkemeja, hidup mewah dengan jip Hummer, motosikal besar serta ada helikopter sendiri menjadikan Tailong nampak besar. Selebihnya, saya serahkan bakat lakonan anugerah Allah kepada saya. Memanglah semua orang tengok filem aksi dari luar tetapi, apa yang ada dari dalam diri kita, kejujuran itu yang paling penting. Saya pula tertarik dengan imej penjenayah yang sering jadi bahan berita, penjenayah yang tidak takut mati biasanya terlibat dengan dadah," hujahnya panjang lebar memberi asas pemikat Tailong yang menyerlah setanding hero dalam filem berkenaan.

Sambil menolak kenyataan hero tua yang selalu dikaitkan dengan dirinya, kata Rosyam, jawapan itu mungkin boleh diperoleh dalam filem berkenaan.

"Saya berusaha untuk menjawab kritikan itu menerusi KL Gangster 2. Dalam filem, hero tetap hero tidak kira tua atau muda, tak kira baik atau jahat," jelas Rosyam tanpa malu mengaku bahawa dia sedang menumpang populariti Aaron Aziz, Adi Putra, Zizan Razak, Syamsul Yusof serta seluruh produksi filem berkenaan untuk terus hidup di mata peminat generasi baharu.

Soffi Jikan sedar ruang

Kemunculan pelakon yang penuh rasa dan gerak tubuh ini sentiasa dinanti-nantikan khalayak dalam setiap produk yang tersenarai namanya. Umum semakin sedar melihat hasil kerja Soffi Jikan yang sentiasa terbit lebih 100 peratus daripada kudrat dan kemampuan berfikirnya.

Dalam filem kali ini dengan membawakan nama Ajeeb, Soffi kelihatan lebih banyak berkata-kata. Ruang dia berbicara digunakan dengan pantun sebagai dialog yang diciptanya sendiri sekali gus menampilkan gaya lain dalam persembahan seorang gengster.

ROSYAM NOR mengaku sedang menumpang populariti KL Gangster 2 untuk memikat peminat generasi baharu. Pada Januari depan, dia bakal muncul dengan sebuah lagi filem aksi berjudul Balistik.


"Saya sentiasa berpegang kepada metod kontra atau songsang dalam mempamerkan persembahan. Saya yakin bahawa metod ini akan memberikan keberkesanan kepada watak," jelas Soffi.

Kontra yang dimaksudkan Soffi bertujuan untuk menyeimbangkan watak dalam sesebuah filem terutamanya yang mempunyai karakter yang penting seperti KL Gangster 2.

"Buat Ajeeb dalam KL Gangster 2, dia tidak perlu pamerkan kehebatannya seperti gengster lain yang gemar berlawan. Begitu juga di luar filem, saya rasa semua pelakon tidak berlawanan dalam kehebatan kerana ini semua tentang filem itu sendiri," kata Soffi yang menganggap Syamsul sebagai seorang yang genius dalam memanipulasi watak para pelakon.

"Saya anggap watak Ajeeb itu sebagai satu kanvas kosong. Kemudian saya isi dengan permainan psikologi kerana dalam filem prekuel ini, dia lebih muda dan bereksperimentasi. Ada ruang untuk saya ke belakang dan melihat perjalanan hidup Ajeeb sebagai gengster. Dia banyak berselindung di sebalik percakapannya. Di situlah muslihat dan ketidakjujuran, khalayak boleh lihat banyak lapis wataknya," tambahnya.

Banyak karakter dipegang pelakon-pelakon terkenal dalam filem prekuel ini. Soffi turut ditanya tentang impak setiap watak itu.

"Memang banyak karakter dalam filem ini. Jadi, setiap pelakon harus sedar ruang, peranan dan motif yang dibawakan. Pelakon yang bijak akan mengetahui ruang itu. Saya juga cuma memberikan peranan tersebut. Kalau ada yang rasa jengkel dengan watak Ajeeb, itulah tujuannya dengan ditampilkan banyak dialog," tutur lelaki berkulit hitam manis dan tinggi lampai ini.

"Memang watak hitam atau antagonis itu lebih bebas perginya kerana tidak ada hukum atau sivik. Tetapi, pelakon harus ingat bahawa pelaksanaan watak itu tidak boleh berlebih-lebihan. Perlu ada sempadan serta rasionalnya," terang Soffi yang gemar mendapat tip lakonan daripada pelakon-pelakon senior.

Sambil tersenyum dan membetulkan rambutnya yang sekali-sekala jatuh, Soffi menyampaikan berita yang menggembirakan hatinya. Dia akan muncul dengan sebuah single yang terinspirasi daripada filem berkenaan.

"Saya akan muncul dengan sebuah single bertajuk Madu, bergenre slow rock. Saya menyanyi dan diiringi oleh pemuzik daripada grup Aisunam," katanya mempromosikan single yang tidak lama lagi akan menjengah pendengaran khalayak.

Antagonis bukan klise - Corrie

"Nama saya Dragon, dalam bahasa Melayu dragon ialah naga. Naga tahu di mana harus diam dan bila harus bertindak," bicara Adam Corrie Lee Abdullah tentang wataknya.

Telah sekian banyak tersaksi dalam filem-filem terdahulu, Corrie yang juga pereka tari itu selayaknya bergelar pembelasah watak antagonis yang meyakinkan.

ADAM CORRIE LEE menyifatkan permainan karakter antagonis juga memerlukan disiplin lakonan.


Berlakon dalam lebih 10 buah filem yang kebanyakannya menyarungkan wajah penjahat ataupun gengster Cina, Corrie juga salah seorang gengster yang dipertaruhkan dalam KL Gangster 2. Melanjurkan sisi awal bagaimana ketuanan Dragon dalam KL Gangster pertama menjadi kepala samseng besar, ujar Corrie apa yang disajikan kepada penonton kali ini bukan sekadar pelengkap kronologi.

"Dragon bukan geng Tailong, mereka sama-sama cari makan tetapi dia tahu dengan siapa dia boleh buat kerja. Dalam prekuel KL Gangster ini, Dragon tak banyak pertarungan solo, tak macam dalam KL Gangster yang pertama," katanya sambil menegakkan kewujudan watak antagonis bukanlah persoalan klise yang harus dibangkitkan.

"Hero juga boleh jadi stereotaip, jadi kenapa watak jahat yang selalu dikatakan stereotaip. Sebenarnya, terjemahan watak sangat subjektif," kata Corrie.

Bercerita lagi tentang Dragon, watak itu disifatkan Corrie sebagai watak jahat yang memiliki disiplin.

"Dragon ialah samseng sebenar, dia tidak main dadah dan tidak main perempuan. Sebab itu apabila Tailong sudah keterlaluan, Dragon putuskan untuk tidak masuk campur," beritahu Corrie sambil merujuk KL Gangster sebagai sebuah filem gengster yang hampir sempurna 'undang-undang' gengsternya.

Kata Corrie: "Situasi itu tidak nampak secara langsung tetapi sebagai pelakon gengster, kami kena sedar pangkat dan kedudukan. Jangan ada perasaan cemburu, masa diam, kita diam, orang bawah tidak boleh lawan orang atas, kena tunjuk hormat. Jahat pun ada banyak peringkat.

"Sebagai Dragon, saya cuba bawa sifat naga. Macam King, dialah raja dan naga harus jadi naga, dia harus dihormati sebagai Dragon. Dalam soal itu, saya tabik spring kepada Syamsul, dia pandai susun watak dan bagi ruang sama rata kepada setiap pelakon. Itu juga kenapa Dragon dalam KL Gangster yang pertama menyerlah dan ramai boleh ingat dialognya walaupun bukan watak utama."