Rosyam menonjol, Soffi seimbang



TIDAK sukar menyatukan dua figura hebat ini dalam sesi fotografi. Baik Rosyam Nor mahupun Soffi Jikan, kedua-duanya tahu memberikan pose dalam menjiwai watak yang dimainkan mereka dalam filem terbaharu buah tangan pengarah hebat, Syamsul Yusof iaitu KL Gangster 2.

Sepertimana profesionalnya mereka dalam memberi pose yang dikehendaki jurukamera Kosmo!, Shahril Azman Zain, begitu jugalah kedua-dua pemain filem itu memberi lakonan hebat mereka menerusi KL Gangster 2.

Soffi Jikan, gangster bernama Ajib dengan trademark sengat dalam KL Gangster pada 2011, kembali semula dalam KL Gangster 2 yang sebenarnya merupakan prekuel KL Gangster.

Bagaimanapun, untuk watak Tai Long (ketua gengster paling jahat dan berhati binatang) yang dilakonkan Rosyam Nor itu adalah sesuatu yang baharu cuba diketengahkan oleh Syamsul menerusi KL Gangster 2.

Penangan Rosyam

Sepi Rosyam selama dua tahun bukan kerana apa. Ketika itu, dia sedang memikirkan mengenai reaksi penonton dan juga rakan-rakannya mengenai lakonannya sebagai Tai Long dalam KL Gangster 2.

"Selama dua tahun saya menunggu jawapan peminat dan rakan-rakan mengenai watak Tai Long yang dibawa.

"Selama dua tahun itu jugalah saya takut dilabel zaman saya sudah habis. Bagaimanapun saya bersyukur, rata-rata yang menonton KL Gangster 2 mereka memuji lakonan saya," ujarnya jujur.

Lebih mengejutkan, lakonan pelakon berusia 46 tahun itu dikatakan paling menonjol berbanding pelakon utamanya iaitu Aaron Aziz dan Adi Putra malah, Rosyam sendiri telah dilabelkan watak utama dalam filem prekuel tersebut.

Itulah penangan pelakon yang memiliki nama penuh Mohd. Noor Shamsuddin itu.

Mengulas mengenai watak Tai Long, kata Rosyam, selama 30 tahun bergelar pelakon, itulah watak paling jahat dan kejam pernah dilakonkannya.

Memang dia akui pada mulanya Syamsul sendiri berasa was-was dengan kreadibilitinya untuk beraksi dalam filem yang mengangkat tema gengster itu namun, dia membuktikan kemampuannya dalam memberi aksi lawan yang tidak diduga oleh pengarah itu.

ROSYAM dan Soffi Jikan menyuntik impak efektif terhadap daya lakonan filem KL Gangster 2.


"Syamsul seorang pengarah yang terbuka. Dia tahu apa yang dia mahukan dan tahu bagaimana mahu menghidupkan setiap watak dalam ceritanya. Dalam filem ini sebahagian daripada aksi lagak ngeri dilakukan sendiri oleh saya," ujarnya.

Akui Rosyam lagi, dia menjiwai sepenuhnya watak berkenaan yang disifatkannya lebih ganas daripada watak-watak gangster yang pernah dilakonkannya sebelum ini seperti dalam filem Castello, Bara mahupun Lenjan.

Disoal bagaimana perasaannya tatkala diarah oleh seorang pengarah yang jauh lebih muda daripadanya, jujur kata Rosyam dia tidak pernah memikirkan perkara itu.

Kata Rosyam, apabila sudah terikat pada sesuatu kerja dia akan mengikut arahan yang diberikan.

Bagi Rosyam juga tiada bezanya pengarah muda atau sebaliknya malah, Syamsul sendiri sudah membuktikan kemampuannya sebagai pengarah dengan anugerah-anugerah yang dimenanginya.

Luah Rosyam lagi, apa yang boleh diberi seorang pelakon pula adalah lakonan yang mantap tidak kira sama ada watak tersebut besar atau kecil.

"Saya pernah tampil kameo bawa watak Lan Pet Pet dalam filem Senario XX. Walaupun muncul secara cameo (seketika), saya pastikan kehadiran saya dalam filem tersebut memberi kesan yang mendalam," ujarnya yang bakal muncul dalam filem Balistik, lakonannya bersama Adi Putra dan Rita Rudaini pada bulan Februari tahun depan.

Sebelum mengakhiri perbualan, Rosyam juga menyatakan dia bakal mengarah sebuah filem.

Selepas menjadi pelakon dan penerbit, bagi Rosyam inilah masanya untuk dia menerokai bidang baharu iaitu pengarahan filem.

Soffi perlu seimbang

Mohamad Shoffi Jikan atau lebih dikenali sebagai Soffi Jikan, 43, mengakui watak Ajib yang dilakonkan tidak boleh terlalu menonjol atau tenggelam.

Apa yang perlu dilakukannya adalah menyeimbangkan watak itu tetapi dalam masa yang sama ia tetap memberi kesan kepada jiwa penonton.

Perkara itu tidak mendatangkan masalah buat pelakon dan juga aktivis teater serta penulis lakon layar itu.

DUA aktor hebat yang memiliki karisma tersendiri.


"KL Gangster 2 adalah prekuel kepada KL Gangster. Saya melakonkan watak Ajib seorang gengster baharu dan belum pandai membunuh. Dia cuma pandai bercakap dan menghasut orang sahaja.

"Filem KL Gangster 2 ramai watak-watak besar. Jadi, saya cuba letakkan diri seimbang. Tidak boleh terlebih atau terkurang," jelasnya mengenai watak Ajib.

Mengulas mengenai pengalamannya berlakon dalam filem tersebut, kata Soffi, paling mencabar ialah dia perlu menjalani sebanyak 40 kali babak yang sama iaitu ketika berlawan dengan Rosyam.

Ujar bapa kepada tiga orang anak itu, babak itu sangat kritikal baginya kerana Syamsul mahu ia kelihatan begitu sempurna.

"Semua pelakon sudah memberikan yang terbaik. Penat sudah tidak dirasakan ketika itu sebab keadaan kami boleh digambarkan sebagai lunyai.

"Disebabkan itu penggambaran yang sepatutnya berlangsung selama 45 hari menjadi 70 hari. Tetapi itu pengorbanan yang ditunjukkan oleh semua pelakon untuk memberikan yang terbaik," ungkapnya.

Disoal mengenai karakternya yang sering memberi kesan kepada penonton, kata Soffi, seorang pemain filem perlu memilih projek-projek yang bijak.

Mengulas lanjut, jelas Soffi, dia juga akan memastikan pasukan dan produksi yang akan bekerjasama adalah yang terbaik bukan produksi tangkap muat.

"Filem Rock, Hantu Kak Limah, Bohsia adalah contoh filem-fielm yang terbaik. Sebab apa, kerja keras dan pelaksanaan kerja yang diberikan mereka adalah terbaik.

"Saya tidak mahu berlakon dalam produksi yang main-main yang memberi watak jahat kepada saya tetapi ia ibarat pepatah melepaskan batuk di tangga. Tiada plot dan kesinambungan yang bagus," luahnya.

Dedah Soffi, dia tidak kisah jika tidak popular asalkan selepas 10 tahun daripada sekarang dia tidak malu melihat portfolio lakonannya.

Berkongsi lanjut, kata Soffi, dia juga bersyukur kerana orang tidak lagi memberikan peranan jahat kepadanya malah telah mengangkatnya kepada watak hero.

"Buat pertama kali saya bawa watak hero dalam filem KL Cinta. Seorang anak orang kaya yang nakal dan bercinta dengan Puteri Sarah," ujarnya mengenai filem terbitan White Merpati itu.