Cita rasa pastri Jepun

TERDAPAT tujuh cawangan Kafe Komugi dan kesemuanya terletak di Lembah Klang.


SAAT pertama kali melalui kafe Komugi, Paradigm Mall, Petaling Jaya, mata saya tertarik dengan barisan roti dan pastri yang kelihatan enak lagi menyelerakan.

Komugi merupakan perkataan Jepun yang membawa maksud gandum. Maka, tidak hairanlah kafe ini menawarkan produk utamanya iaitu pelbagai roti Jepun buatan tangan, kek, variasi coklat dan hidangan makanan lain.

Kafe Komugi bukan sekadar berkonsepkan Jepun semata-mata, keaslian pembuatan roti juga dititikberatkan dengan kehadiran perunding chef yang diterbangkan khas dari negara Matahari Terbit itu.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Focus Point Holdings Bhd., Datuk Liaw Choon Liang, buat masa ini, sebanyak tujuh cawangan Komugi dibuka di sekitar Lembah Klang selepas pembukaan kafe Komugi yang pertama pada bulan November tahun lalu.

"Buat masa ini, kami lebih fokus kepada pasaran di sekitar Lembah Klang kerana dapur pusat Komugi berada di Kota Damansara, Petaling Jaya.

"Kebanyakan kafe Komugi berada di dalam pusat beli-belah seperti di Mid Valley, Paradigm Mall, Sunway Pyramid, Pavilion, Sunway Giza dan Subang Parade," katanya ketika ditemui di Komugi, Paradigm Mall baru-baru ini.

Tambahnya, lebih daripada 100 jenis roti, 70 jenis pastri dan kek yang ditawarkan pada harga berpatutan dibuat menggunakan ramuan berkualiti didatangkan khusus dari Jepun.

"Roti, kek dan pastri dibuat setiap hari bagi membolehkan para pelanggan menikmatinya secara segar.

"Apabila anda mengunjungi Komugi, jangan lepaskan peluang merasai hidangan signatur kami iaitu roti Jepun, Hanjuku Cheese, Namachoco Sand, Creamy Custard Krone dan Cookie Cream Puffs," ujar Choon Liang yang menyukai makanan Jepun.

Hanjuku Cheese didatangkan dengan dua perasa iaitu asli dan coklat. Teksturnya yang cair di mulut dan enak dimakan bersama hirupan kopi dijual pada harga RM3.50 sebiji.

ROTI dan pastri yang dijual di Komugi diperbuat daripada ramuan berkualiti yang diimport dari Jepun.


Rambang mata

Anda pasti teruja apabila melihat kek lapis unik berbentuk bulat seperti donat iaitu Baumkuchen yang namanya diambil daripada bahasa Jerman, membawa maksud kek pokok, harganya RM23.90 sebiji.

Antara pastri lain ialah creamy custard krone, namachoco sand (perisa coklat dan teh hijau) dan fuwa fuwa serta pelbagai pilihan pastri yang membuatkan anda rambang mata.

Bagi mereka yang menggemari coklat, Komugi merupakan persinggahan wajib jika anda mahu merasai coklat premium, Chocoletto buatan tangan yang diperbuat daripada coklat dari Belgium.

Komugi juga menawarkan variasi minuman, daripada minuman panas, sejuk hinggalah ke jus.

Kelainan yang ada di sini ialah jus segarnya dibotolkan dipanggil Furutsu diperbuat daripada air oksigen.

"Pelanggan beragama Islam tidak perlu risau kerana pembuatan kek, pastri, mahupun coklat di Komugi bebas daripada unsur babi dan alkohol.

"Tiada sebarang bahan pengawet digunakan kerana kesemua makanan itu dihasilkan menggunakan bahan-bahan dan ramuan semula jadi. Kami juga menitikberatkan aspek kesihatan memandangkan pastri di Komugi tidak begitu manis," katanya sambil memberitahu Komugi di Paradigm Mall boleh menempatkan 55 orang pada satu masa.