Pakaian pesertaAF 2013 dikritik

PAKAIAN para pelajar AF 2013 menjadi pertikaian kerana dianggap seperti tidak bersedia untuk sebuah pertandingan.


SUDAH memasuki minggu yang ketiga, program realiti Akademi Fantasia 2013 (AF 2013) berlangsung semakin sengit dengan menampilkan 10 peserta yang masih meneruskan saingan.

Dalam konsert yang bertemakan Inspirasi 15 Ikon Malaysia, secara keseluruhannya terdapat sedikit peningkatan yang ditunjukkan oleh para peserta.

Paling ketara, pastinya persembahan oleh peserta duet Azhael yang menampilkan Hal Husaini Razmi dan Azhar Osman dengan aksi yang begitu mantap menerusi lagu Khayalan yang dipopularkan oleh kumpulan Ruffedge.

Bagaimanapun konsert tersebut sedikit mengecewakan apabila dinilai dari segi penampilan beberapa peserta yang langsung tidak menunjukkan ciri-ciri seorang bintang yang bakal menyinar.

Rata-rata penampilan kesemua peserta kurang memuaskan, tetapi antara peserta yang mendapat kritikan hebat daripada juri ialah Faizul, Indah dan Nabila.

Salah seorang juri yang paling lantang mengkritik tentang penampilan peserta ialah Roslan Aziz yang menganggap ia merupakan kriteria paling utama untuk menjadi seorang penghibur.

Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli ketika sidang akhbar berkata, pihaknya turut menerima beberapa maklum balas daripada penonton berkenaan penampilan peserta.

“Perkara ini memang diambil perhatian serius oleh Astro dan perbincangan lanjut akan dilakukan dengan pihak penata busana. Kami akan memastikan para peserta akan tampil dengan lebih menarik lagi,” jelasnya.

Sementara itu, berkenaan dengan penukaran waktu konsert ke hari Ahad pula, Raqim memberitahu, ia disebabkan mahu memberi laluan kepada saingan bola sepak Piala Malaysia yang sedang rancak sekarang.

Menurutnya, memandangkan ketika ini perlawanan Piala Malaysia selalu berlangsung pada hari Sabtu, maka keputusan dibuat supaya konsert AF 2013 diubah kepada hari Ahad.

“Bermula pada saingan minggu ketiga AF 2013 akan berlangsung pada setiap hari Ahad, tetapi ia buat sementara waktu sahaja iaitu sehingga minggu ketujuh setelah saingan Piala Malaysia berakhir.

“Pada minggu kelapan sehinggalah konsert akhir, ia akan disiarkan semula pada hari Sabtu. Keputusan ini terpaksa dilakukan kerana Astro merupakan rakan penyiar kepada aksi Piala Malaysia,” ujarnya yang menafikan perubahan dibuat kerana rating yang menurun.

Sementara itu, Faizal Tahir yang menjalankan tugas terakhirnya selaku Inspirer menyatakan tempoh selama tiga minggu memang tidak mencukupi buat dirinya untuk mencurahkan segala ilmu kepada para peserta.

Ujar Faizal, ia bukanlah satu tugas yang mudah untuk membimbing peserta yang baru berjinak-jinak sebagai penghibur, namun dia berpuas hati kerana mereka semakin menunjukkan peningkatan setiap minggu.

“Tugas saya sudah berakhir dan selepas ini akan diambil alih oleh Melly Goeslow pula. Saya percaya peserta akan mendapat lebih banyak ilmu kerana Melly merupakan seorang individu yang lebih berpengalaman luas,” ujarnya.

Sudah jangka

Saingan pada minggu ketiga menyaksikan peserta dari Kedah iaitu Muhammad Ikhtiman Che Ismail atau Iman menjadi mangsa seterusnya apabila mendapat undian terendah sebanyak 6.6 peratus, sekali gus tersingkir daripada persaingan.

Iman berkata, beberapa hari sebelum konsert berlangsung, dia sudah dapat menjangka bakal tersingkir disebabkan kesilapan yang telah dilakukannya pada minggu sebelumnya.

“Apabila selesai menunaikan solat saya selalu berdoa. Sekiranya tiada lagi rezeki untuk meneruskan saingan dalam AF 2013, saya rela dan menerima dengan hati terbuka.

“Lagipun sepanjang berada di akademi perasaan rindu terhadap keluarga semakin menebal. Mungkin ia menjadi punca saya gagal menampilkan persembahan yang baik dan konsisten,” ungkapnya yang menyanyikan lagi Nokhtah Cinta.

Menurutnya, biarpun tidak lagi meneruskan saingan dalam AF 2013, perjuangannya dalam bidang nyanyian tidak akan berakhir dan akan berusaha untuk menggapai impiannya sebagai penyanyi.