Nurul pilih ubat alternatif untuk anak




KETIKA Ayu Nazirah, anak pertama hasil perkahwinan pertamanya bersama Ajai yang merupakan seorang komposer melangkah yakin untuk berjuang melepasi soalan-soalan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Nurul Wahab atau lebih gemar menggunakan nama timangan Nurul Deep pula bersabung nyawa untuk membolehkan anak keduanya melihat dunia.

Melepasi tempoh 15 tahun selepas kelahiran anak pertama, pengalaman yang ditempuhi Nurul sewaktu melahirkan bayi lelakinya kali ini dipermudahkan Allah. Nurul sebenarnya dijangka bersalin pada 15 Oktober nanti.

Seperti yang tertulis dalam blognya, Nurul berkongsi berita gembira itu dua jam selepas selamat melahirkan bayinya yang diberi gelaran sebagai Baby Z.

"Syukur alhamdulillah aku dah selamat melahirkan Baby Z pada pukul 10.28 pagi. Baby sihat dan begitu juga aku. Baby Z dilahirkan secara normal dan beratnya 3.26 kilogram. Semuanya okey. Aku sakit tak lama. Sakit bermula pukul 10.30 malam, satu jam sekali sakitnya, pukul 3 pagi terus ke hospital. Syukur. Alhamdulillah berkat doa semua, pengalaman kedua ini amat mudah bagi aku," tulis Nurul untuk bacaan semua.

Tidak puas sekadar membaca berita dan mengintai apa yang terakam menerusi laman Instagram miliknya, Nurul Wahab yang dihubungi sekitar pukul 9 malam pada Jumaat lalu sudi bercerita lanjut.

"Saya masih di hospital, kalau tiada apa-apa, doktor benarkan kami pulang ke rumah pada hari Sabtu (semalam)," ujar Nurul yang masih lemah namun kegembiraan jelas kedengaran menerusi suaranya.

Selain si ibu yang melahirkan, orang yang paling gembira atas kelahiran Baby Z sudah tentu suaminya, Eric Depp serta mertuanya, Roland dan Germaine yang baru kali pertama menimang cucu.

Lebih mengujakan mereka, Baby Z kelihatan banyak mewarisi warna kulit, bentuk hidung, serta warna anak mata daripada Eric berbanding Nurul.

"Ibu dan bapa Eric tidak henti-henti mengucapkan terima kasih kepada saya sebab lahirkan seorang cucu untuknya. Eric anak tunggal dan saya pasti inilah detik yang paling gembira buat mereka. Daripada datuk ke nenek, kerja mereka asyik tenung muka cucu," cerita Nurul perihal ibu bapa Eric yang akan berada di Malaysia sehingga Mac tahun depan.

Berkongsi cerita episod pantang yang sedang bermula, Nurul akan menghabiskan tempoh berpantang di kediamannya di Kuala Lumpur.

"Soal makan minum dan rawatan berpantang tiada masalah. Kawan-kawan macam Zahida sudah janji bahawa ibunya akan sediakan makanan orang berpantang untuk saya, Ning Baizura (penyanyi) pula sudah lantik dirinya menjadi penasihat bahagian penjagaan bayi.

"Saya sendiri ada kontrak bersama pihak pengeluar herba Tanamera. Syukurlah, mereka juga menaja rawatan dan ubatan berpantang untuk saya. Jadi, saya tidak perlu risau soal itu. Saya kena berpantang sahaja," jelas Nurul sambil memberitahu nama penuh Baby Z belum lagi diputuskan.

Tambah Nurul: "Kami sudah ada beberapa nama, setakat ini ada dua pilihan tapi hati saya berat ke arah nama berpangkal Z itu. Sebab itu panggil sahaja Baby Z dulu, esok lusa apabila sudah hendak membuat pendaftaran barulah boleh diumumkan betul-betul."

Ditanya tentang gambar bayi lelaki yang belum ditunjukkan kepada umum, Nurul tidak berhasrat untuk berkongsi gambar bayinya kerana beranggapan masih terlalu awal.

"Bayi saya masih kecil, tunggulah sehingga habis pantang nanti. Buat masa ini juga, saya harap peminat bersabar jika ada yang mahu melihat wajah Baby Z. Saya tidak merancang untuk mengadakan majlis tertentu tetapi jika ada agenda melibatkan pihak tertentu, tengoklah macam mana," kata Nurul yang turut mendapat penajaan Bank Darah Tali Pusat daripada Stemlife untuk bayi lelakinya itu.

Banyak membuat kajian mengenai persediaan terbaik untuk anak lelaki pertamanya, Nurul dan suami juga telah membuat keputusan untuk tidak mengambil vaksinasi sebagaimana lazimnya diambil oleh bayi yang baru lahir sehingga berusia enam tahun.

"Kami pilih untuk guna perubatan homeopati, jadi bayi saya tidak akan mengambil vaksin atau suntikan bulanan seperti yang lazimnya dilakukan. Itu semua hasil kajian saya dan Eric. Kami sudah berbincang dengan seorang pakar dari Australia berhubung perkara itu dan ubat homeopati untuk bayi yang dicadangkan begitu meyakinkan.

"Doktor pakar kanak-kanak yang dirujuk Baby Z juga telah dimaklumkan perkara itu dan dia berminat untuk berkongsi maklumat dengan saya. Barulah saya tahu, rupa-rupanya sudah ramai ibu bapa di Malaysia yang menggunakan ubat homeopati untuk bayi mereka," jelas Nurul yang akan berpantang selama 45 hari sebelum aktif semula sekitar Disember nanti.